Halaman

Khamis, 19 April 2012

Guru vs Bekas Pelajar


SETIDAK-TIDAKNYA dua bekas murid dan pelajarku memegang jawatan tinggi dalam industri media. Aku pula, selain bertugas sebagai guru; pernah lebih 15 tahun bertugas sebagai stringer di kedua-dua syarikat media arus perdana ini.
     Kalau yang seorang itu pernah aku ceritakan kisahnya sewaktu majlis temukembali, yang seorang ini agak lama juga tidak bertemu. Dia ini `cepat dewasa’ malah sewaktu habis sahaja Tingkatan Lima, dia tidak mahu menyambung pengajian lalu meminta aku merekomenkannya sebagai stringer di situ.
     Minggu lalu bekas pelajar 1988 dan 1989 itu menubuhkan kumpulan FB baharu dan sebagai `admin’, aku dimasukkan dalam kumpulan itu. Aku tidak mintapun.
     Sebagai tanda sokongan kepada kumpulan itu, aku turut melontarkan beberapa pandangan. Seronok juga apabila guru dan bekas pelajar berinteraksi secara terbuka.
     “Apa yang penting dalam karangan, setiap argumen perlukan fakta dan bukti sokongan. Argumen tanpa fakta sokongan adalah cakap kosong,” begitulah antara kata yang pernah diungkapkan kepada pelajar yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu.
     Sedar dengan konsep kendirinya yang tinggi itu, aku turut melontarkan pandangan yang agak bercanggah dengan pegangannya. Dia segera memberi reaksi dan ini antara kata-katanya, “Ke bendang seberang nampak?.”
     “Saya tidak memilih bendang. Saya mahukan padinya,” jawabku, juga secara spontan.
     Pagi ini aku memberi input baharu untuk Kumpulan FB ini. Ikuti dialog guru dengan bekas pelajarnya.
Guru: ANTARA `Mind-Set' orang UMNO yang perlu dibetulkan:
1. Terus label pihak yang tidak sealiran dengan pemikirannya, `telah ke bendang orang' walhal pendapat yang diberikan untuk kebaikan parti sendiri. Kalau begitu, tidak perlu diwujudkan wadah untuk berforum - membuang masa sahaja memberikan pendapat!
2. Bermati-matian memburukkan individu yang tidak disukai khususnya pihak lawan sehingga terasa MELOYA dan MENJIJIKKAN. `Apabila tidak suka, semuanya SALAH. Apabila suka, semuanya BETUL.' Adakah Allah maha zalim dengan menjadikan seseorang itu 100% HITAM dan 100% PUTIH? Bukankah dalam sastera sendiri kita perlu berlaku adil - setiap watak itu itu ada BULAT dan PIPIHnya. Setiap manusia itu ada kekuatan dan ada kelemahannya.
3. Selalu berfikiran aku adalah TUAN, akulah SANG MAHATAHU.
4. Cakap selalu tak serupa bikin. "Marilah kita bersatu!," itu antara kata yang sering diucap oleh pemimpin khususnya menjelang PRU sedangkan semua orang tahu `mereka sesama sendiri’ TIDAK BERSATU dan SALING MENJATUHKAN'.
5. "Tolonglah! Tolonglah saya kali ini. Ini maruah bangsa. Ini maruah agama," antara dialog yang digemari. Apabila sudah `ditolong', perangai lama dikitar kembali. Maka terjadilah THE SATANIC CIRCLE.
Bekas Pelajar: Adakah perkara ini masih berlaku di bawah transformasi politik yang dilaksanakan oleh PM sekarang? Mungkin keadaan itu sebelum 2008. Tetapi jika masih berlaku, sesuatu perlu BN lakukan.
Guru: Masih berlaku. Saya berada di lapangan, bukan di kamar dingin metropolitan Kuala Lumpur atau Putrajaya.
     Kemudian aku mengulas pandangannya mengenai strategi yang digunakan. Dia tidak bersetuju. Katanya kerana tidak MENYERAN, partinya hampir bungkus dalam Pilihan Raya Umum 2008. Ikuti dialog ini pula.
Guru: MENYERANG jangan membuta-tuli, BERTAHAN perlu berstrategi.
Bekas Pelajar: Adakah UMNO yang menyerang membuta tuli? Setahu kita pembangkang yang menyerang UMNO secara membuta tuli. Kalau dibuat perbandingan jauh bezanya strategi UMNO dan pembangkang.  Pembangkang hentam keromo tetapi UMNO/ BN selalunya bercerita fakta, prestasi atau track record dan seumpamanya. Yang menabur fitnah adalah 99% pembangkang.
Guru: Mana dapat angka 99% tu. Secara ilmiah, setiap fakta ada data sokongannya.
(Interaksi terhenti seketika. Sewaktu hendak posting kata-kata di bawah ini, komputer yang menjawab.
Guru: Ini contoh mudah MENYERANG MEMBUTA-TULI.
Komputer: Unable to post comment. Try Again!

Nota: Sekembalinya dari hospital kerana menziarah emak, aku ingin menyambung kembali interaksi. Malangnya aku telah `dipecat’ daripada kumpulan).

Catat Ulasan