Halaman

Isnin, 16 April 2012

Tak Patut (Edisi Indonesia)


Ini antara kerja W yang terpaksa disudahkan oleh Nasha, karyawan tempatan.


Daripada lebih 15 karyawan (pekerja) yang terbabit dengan kerja-kerja pengubahsaian Studio Sang Pencerita, W agak berbeza. Selain penampilan dirinya yang moderen (telefon bimbit, jam, kasut dan pakaiannya berjenama), W agak berpelajaran.
    Mengikut ceritanya, dia mendapat pendidikan di salah sebuah sekolah elit di Bali kerana dia mendakwa datuknya antara orang terkaya di pulau peranginan terkenal itu.
    “Bos! Apabila berkesempatan ke Bali nanti, tidak perlu tinggal di hotel, tinggal sahaja di kediaman datuk saya. Rumahnya besar dan ada tempat `barbecue’ dan membakar jagung,” katanya berbasa-basi.
    “Don’t worry! Paspor saya sudah dikembalikan. Biayanya, tanggung beres!,” aku memberi keyakinan.
    W yang dahulunya memanggil aku Pakcik menukar kata panggilan kepada bos mungkin berdasarkan aku melayannya sebagai teman.
    Selain aku memberi peluang kepadanya berdikari setelah disuntik motivasi keyakinan diri (sebelumnya dia karyawan PU), W turut kuberikan motosikal bagi memudahkannya datang ke tempat kerja.
    Setelah lebih sebulan mengenalinya, W bertindak lebih jauh. Dia sudah mula tidak melunaskan kerja-kerja di studioku tapi memberi tumpuan kepada kerja-kerja rumah jiran yang aku perkenalkan.
    Dia yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa turut meminta aku membuka akaun Facebook bagi memudahkannya berhubung dengan isteri-isterinya (walaupun dia cuma berusia 31 tahun tapi punya tiga isteri) dan teman sekolahnya dahulu.
    Suatu hari darahku berderau. “Bos cuba cari nama … dalam Facebook. Dia adik saya yang bertugas sebagai jururawat. Cantik bos!”
    Darahku lebih berderau apabila W memberitahu dia pernah menjadi penyeludup rokok ketika tinggal di Singapura.
    “Waktu itu saya mewah bos! Saya boleh booking tempat dangdut di Batam tanpa kehadiran pelanggan lain.”
    Aku mula sangsi dengan W apabila lebih tiga minggu tidak datang menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai dan tidak memulangkan motosikal yang kupinjamkan.
    “Saya ada projek di Nilai. Motosikal bos saya tinggalkan di rumah,” satu sms singgah di telefonku.
    Setelah menyelesaikan kerjanya di Nilai, W datang kembali. Bagaimanapun dia tidak juga menyiapkan kerja yang terbengkalai. Dia bekerja di rumah jiranku. Sebagai menghormati janji, aku pula tidak memberikan kerja itu kepada orang lain.
    Tidak lama kemudian, dia hilang lagi. Satu lagi sms singgah.
    “Bos, cuba teka saya di mana? Batamlah bos! Pasal motor, jangan risau. Saya sudah kunci sebaik-baiknya.”  
    Setelah dua hari di Batam, W menelefonku.
    “Bos! Pada teman saya ada RM200. Bos berikan bakinya untuk digenapkan jadi 1 juta Rupiah. Bos hantar wang itu melalui Western Union.”
    Belasan panggilan tiba selepas itu, diikuti sms sehingga malamnya. Aku membiarkan sahaja apabila melihat nombor yang tertera.
    Dua hari kemudian, W muncul di studio. Dia hanya bercakap dengan jiranku yang turut menggunakan khidmatnya.
    “W. Kalau mahu buat air, masuklah,” aku mempelawa. Mungkin memikirkan aku tidak marah dengan tindakannya itu, W mula membawa cerita  lama.
    “Bos! Sebelum ke Bali kita ke Batam dahulu!,” katanya sambil menunjukkan tanda jempolan.
    Untuk menjaga hubungan, aku meminta W menyiapkan kerja yang tertinggal dan ditambah pula dengan kerja membina air terjun di bahagian belakang studio.
    “Kau boleh mula kerja pagi Isnin depan!” aku memaafkan kesalahan lalunya.
    Pagi Isninnya dari pagi hingga ke petang wajah W tidak kunjung tiba. Sekitar jam 5.30 petang dia datang bersama seorang teman. Motosikal dipulangkan.
    Malamnya aku menghantar sms.
    “W, Saya sudah memberi peluang kedua tapi kau tidak tunaikan. Projek air terjun saya sudah serahkan kepada karyawan tempatan.” Dan ini pula antara jawapannya.
    “Tak apa, sayapun minta maaf, mungkin bukan rezeki saya…Lebatnya hujan, tapi hanya setitis yang saya kecapi. Sulit untuk saya, senangnya bukan untuk saya.”
    Memang Tak Patut!
Catat Ulasan