Halaman

Jumaat, 13 April 2012

Tak Patut!


Setelah rebah beberapa kali, aku mengumpul kekuatan untuk merealisasikan impian -Studio Sang Pencerita adalah pengubat duka.

1
“Cikgu, mari kita berkongsi! Cikgu ada kepakaran. Biar kami jalankan bisnes tu. Cikgu bergerak di belakang tirai sahaja,” A datang bersama B pada suatu petang di rumahku di Taman Paroi Jaya lebih 20 tahun lalu.
    Melalui perkongsian itu, kami menjadi perintis bisnes desktop-publishing di Seremban. Walaupun sebuah syarikat kecil dengan menyewa bangunan milik Haji Hamzah di kawasan kedai Taman Paroi Jaya, kami mencipta sejarah; syarikat pencetakan pertama yang menggunakan teknologi itu.
    A seorang akauntan bertauliah yang masih berkhidmat dengan sebuah konglamerat antarabangsa di Senawang. Waktu itulah aku berpeluang menggunakan pencetak laser yang baharu diperkenalkan ketika itu.
    Sebagai akauntan, A memberi perhatian berat mengenai akaun syarikat. Aku suka dengan sikapnya itu. Aku sendiri tidak pernah belajar mengenai akaun perniagaan.
    Bagaimanapun, satu sahaja masalahnya. A akan bising apabila didapati ramai pelanggan yang tidak melunaskan hutang dan cuma berdiam diri sewaktu mendapat bayaran.
    “Hebat kau Zul! Ada kerja yang dihormati dan ada bisnes sendiri pula,” begitu kata kawan-kawan.
    Bagaimanapun cuma aku sahaja yang tahu berapa yang aku dapat daripada perniagaan itu setiap bulan.
    “Tak patut!”
2
“Tak patut! Bukankah bisnes itu kau yang asaskan. Mengapa dia tinggalkan kau setelah dapat kuari dan mampu membeli beberapa rumah kedai?
    Bukankah kau yang berusaha mendapatkan lesen menganjurkan kursus praperkahwinan itu?,” C bagai naik angin apabila aku memberitahunya sewaktu dia mengajak aku berkongsi menubuhkan syarikat pencetakan yang lebih besar.
    C tahu aku bersama dua rakan yang berpengaruh di peringkat negeri telah diberi lesen pertama untuk mengendalikan kursus itu. Maksudnya, kami menjadi perintis lagi.
    Aku memberitahunya secara berterus-terang agar pengalaman pahit itu tidak berulang. Aku percaya dengan C. Selain datang daripada keluarga peniaga, dia saudara baharu yang baharu bermukim di Seremban.
    Melalui perkongsian itu, syarikat kami diberi peluang membekalkan bahan kempen BN sewaktu Pilihan Raya Umum 1995.
    Tidak besar nilai projek itu, sekitar suku juta ringgit sahaja.
    “Zul! Aku ingat kita tak payah ambillah duit keuntungan. Kita laburkan balik dengan membeli mesin cetak baharu dan peralatan yang berkaitan,” pujuknya.
    Aku akur. “Patutlah orang Cina berjaya dalam perniagaan. Keuntungan tidak digunakan untuk membeli Mercedes dan sebagainya seperti peniaga Melayu,” fikirku.
    Seingat-ingat aku, rasa tidak rasanya aku dengan keuntungan itu cuma kira-kira RM350. Itupun mungkin orang politik yang suruh aku menjemput wang tunai hampir RM50,000 di Port Dickson malam itu, tersalah kira dan aku diminta mengambilnya sahaja.
   
3
“Tak patut sangatlah! Bukankah Encik Zul yang ajak dia berkongsi? Dia tidak mengeluarkan apa-apa belanjapun. Itulah! Encik Zul mudah percaya sangat dengan orang,” D yang bekerja di pejabat puncak kuasa benar-benar menunjukkan simpati.
    “Mari kita berniaga bersama-sama. Encik Zulpun masih bekerja. Biar saya yang menggerakkannya. Kita pakai nama proksi sahaja. Jadi, tidak ketara sangatlah yang Encik Zul berniaga.”
    Itu cerita kira-kira 10 tahun lalu. Bukan mahu mendabik dada, aku juga yang menjadi perintis non-linear editing untuk penerbitan video.
    Pelangganku bukan sebarangan. Antaranya Kerajaan Negeri Sembilan dan orang penting peringkat negeri.
    Syarikat ini cukup cepat berkembang maju dengan kehadiran seorang anak muda yang pakar dalam kerja-kerja penerbitan video.
    Sewaktu ingin bertanya mengenai keuntungan daripada rakan kongsi, ini pula katanya.
    “Encik Zul jarang datang pejabat. Jadi duit keuntungan syarikat telah kami beli rumah kedai.”
    “Takkan keputusan yang besar itu dibuat tanpa memaklumkan kepada saya?”
    “Bukankah know-how bisnes itu dan peralatan yang ada saya yang punya?”
    “Kalau Encik Zul hendakkan komputer itu, ambillah balik,” kata D.
    Sewaktu bertemu pengurus yang aku sendiri bersetuju untuk mengambilnya sewaktu tidak bekerja, ini pula jawapannya.
    “Uncle tidak datangpun ke pejabat sewaktu kami dalam kesulitan.”
    Aku pun bertanya pula kepada anak muda itu, “Bagaimana pula keadaannya sewaktu engkau orang banyak duit dalam akaun. Pernah tidak mengajak uncle datang.”
   
4
“Memang tak patut! Kau yang punya idea dan mengeluarkan modal untuk bisnes tu, senang-senang dia tinggalkan kau apabila syarikat maju,” E beria-ia benar menyatakan simpati.
    “Inilah masalahnya apabila berniaga bukan kerja sepenuh masa kau,” E berhujah lagi. Itu cerita kira-kira lima atau 10 tahun dahulu, cerita sebelum bersara.
    E yang mempunyai hubungan kekeluargaan sanggup menyewa pejabat yang telah aku ubahsuai atas dasar ingin meringankan beban.
    E kemudiannya meminta aku memberi projek di tempat kerja. Walaupun sedar, itu merupakan kesalahan kerana menyalahgunakan kuasa, aku sanggup menanggung risiko itu untuk membantunya, membaiki kehidupan setelah berumahtangga.
    Tidak besar projek yang diberi. Cuma bernilai kira-kira RM40,000 sebagai permulaan. E  kemudiannya cuma dapat membekal barangan bernilai kira-kira RM15,000 dan akulah yang terpaksa menampung baki bekalan.

Catat Ulasan