Halaman

Selasa, 10 April 2012

Indon, Di Mana Pak?


LEBIH tiga bulan sejak awal Januari lalu aku menghadapi rutin yang berbeza. Kalau sebelum ini, setelah menghantar Siti Adibah ke sekolah pada kira-kira jam 7.00 pagi, aku sempat bersantai sambil menghirup Nescafe panas di beberapa warung yang berbeza atau ke Pasar Selasa Ampangan, dalam tempoh ini aku memasuki dunia baharu; sebagai buruh binaan.
    Sejak mengenali pekerja binaan berketurunan Indonesia yang membuat kerja ubahsuai rumah seorang teman, aku bagai terpanggil untuk kembali ke zaman silamku, menjadi tukang rumah sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1970 dahulu.
    Waktu itu aku membantu abah, seorang tukang rumah yang disegani di Batu 8, Labu dan sempat berpeluang membina beberapa rumah jiran sekampung.
    “Cuba kira berapa kayu 2X3X12, 2X6X8 yang diperlukan?,” begitu selalunya abah meminta aku mengira jumlah kayu. Walaupun abah tidak bersekolah, kadang-kadang dia lebih cepat mendapatkan hasil darab atau tambah.
    “Indonpun masuk kerja jam 8.00 pagi dan balik jam 5.00 petang. Kau agaknya dari Irian Jaya, buruh yang masuk kerja sebelum subuh, balik hampir azan Maghrib dan masuk balik lepas Isya’,” begitu selalunya usikan Rahman atau Atok, jiranku di Taman Pinggiran Golf.
    Tidak tahu kenapa, penyakit workaholicsku menyerang lagi. Malam bagaikan tidak sempat menunggu siang untuk kerja bersama-sama Pak Udin, Walid, Musli, Inung, Muhajir atau yang lain untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan dan ubahsuai rumah yang baharu dibeli daripada lelongan awam untuk dijadikan pejabatku, Studio Sang Pencerita.
    Aku tidak perlu makan ubat darah tinggi lagi kerana setiap hari bermandi peluh dan blog ini turut menjadi mangsanya – tidak dikemaskini walaupun setiap hari ada cerita baharu, berlaku.
    Oleh kerana cuaca agak panas kebelakangan ini, aku selalunya tidak berbaju sama ada sewaktu menukar parquet atau meratakan tanah di belakang rumah.
    Pada suatu pagi yang cerah, Pak Udin membawa pekerja yang dipanggil karyawan, yang baharu datang dari Makasar untuk membantu. Sebaik-baik tiba di tingkat atas, Inung diminta membantu aku membaiki lantai yang sebahagiannya rosak.
    Untuk berbasa-basi, anak muda ini segera menegurku,” Sudah berapa hari kerja Pak?”.
    “Baharu dua hari,” jawabku sambil menyembunyikan sengeh.
    Hanya pada sebelah petangnya, baharu Inung tahu bahawa akulah pemilik rumah itu.
    “Tak perlu minta maaf. Inung tidak melakukan apa-apa kesalahan,” beberapa kali aku menegaskan kata-kata itu apabila Inung, bekas pengurus Perusahaan Ikan Kerapu di Bali memohon maaf kerana menyangkakan aku juga sepertinya, buruh binaan Indonesia.
    Pada petang yang sama, peristiwa yang hampir sama juga berlaku. Seorang kontraktor tempatan datang bertamu untuk melihat kerja-kerja binaan yang dalam proses peringkat akhir.
    “Kemas kerjanya. Selain susunan bata, plasternya cukup halus,” katanya yang juga cuba berbasa-basi. Aku yang terus-terusan menggunakan bahasa Indonesia sewaktu bercakap, melayannya dengan ramah.
    Setelah hampir sejam berbual, keinginannya untuk mengenali diriku kelihatan semakin memuncak.
    “Di Indonesia, bapak tinggal di mana?,” dia juga telah terpengaruh dengan dialek itu.
    “Di Labu.”
    “Labu itu di mana Pak? Berhampiran Jakarta atau Bogor?”
    “Kampung Pelegong. Kampung yang ada homestay itu,” jawabku dalam dialek Negeri Sembilan pekat.
    Kah! Kah! Kah!
    Suasana riuh seketika.
    “Minta maaflah. Saya ingat tadi, tuan orang Indonesia!” kekesalan yang amat sangat terpancar pada wajahnya.
Catat Ulasan