Halaman

Ahad, 15 April 2012

Tak Patut! (Edisi Pakistan)


“Tak patut kawan abang buat macam itu,” Z yang kukenali sejak lebih tujuh bulan lalu menunjukkan simpati sewaktu berbual pada kira-kira jam 1.00 pagi di Restoran Syed Maju.
    Aku kadang-kadang tercerita juga masalah kewanganku apabila sejak dua tiga minggu kebelakangannya Z asyik bercerita mengenai hasratnya untuk berkongsi denganku.
    Mungkin melihatkan aku menunjukkan minat untuk berusahasama dan sentiasa menyatakan hasrat untuk mengikutnya pulang ke Pakistan, iceberg sudah lama runtuh.
    “Saya sudah lama mahu ke India dan Pakistan. Isteri dan anak-anak tidak berminat melancong ke negara yang tidak berbau orang putih,” kataku.
    “Abang boleh ikut saya. Pakistan lebih baik dari India. Pakistan betul-betul negara Muslim,” katanya bangga.
    Bukan kerana soal duit sangat tapi lebih untuk menolong, akhirnya RM1,200 bertukar tangan.
    “Jangan takut abang. Ini wang akan jadi modal untuk saya berniaga tudung di KL nanti,” dia memberi keyakinan.
    Setelah tinggal di KL, Z tidak berniaga tapi bekerja dengan rakan Pakistannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
    “Kalau mahu berniaga, saya perlu RM5,000. Nanti kita boleh buat wang – jual tudung, jual kain,” ceritanya sebelum berhenti bekerja di Syed Maju.
    Atas persetujuan, RM1,200 yang diberikan kepadanya dianggap sebagai pinjaman dan akan dipulangkan apabila aku memerlukannya.
    Tiga minggu lalu, aku benar-benar memerlukan wang lalu menelefon Z. Mulanya dia memberitahu untuk ke mesin ATM tapi kemudiannya menelefon kembali.
    “Abang saya minta tolong sikit! Saya susah sekarang. Boleh tak saya masukkan 10 April,” pintanya melalui telefon. 10 April itu membawa maksud penangguhan lebih dua minggu.
    Sampai tarikhnya, Z tidak menunaikan janji menyebabkan kesabaranku dicabar.
    “Z! Muslim brothers keep their promises,” aku mula bersuara agak tinggi.
    “Abang jangan marah. Takkan 10 haribulan tak boleh tunggu.”
    “Come-on Z, today is 10th April,” aku mula naik angin apabila Z sudah tidak tahu tarikh lagi. Waktu itu wajah suami nenekku segera melintas di mata.
    Gulab Khan yang berasal dari Kabul meninggalkan anak bongsunya yang masih dalam kandungan nenek dan seorang lagi anak, Nur Muhamad (Pak Kitam) manakala dua yang lain dibawa pulang selepas tamat perang.
    Aku segera menghantar sms kepada Z yang berupa provokasi yang membabitkan maruah negara dengan harapan dia segera memulangkan duit itu.
    Sms itu berbunyi,” Nenek saya kahwin dengan orang Afghan. Waktu kecil nenek saya selalu pesan jangan percaya dengan janji orang Afghan dan orang Pakistan. Do you want to confirm it?”
    Sebentar tadi aku cuba menelefon Z. Seperi rakan-rakan penghutangku yang lain, selain lupa tarikh, jumlah hari dan jarak masa; mereka juga rupanya sudah hilang kemahiran menjawab telefon. 
Catat Ulasan