Halaman

Khamis, 30 Januari 2014

Apabila Menteri Dalam Negeri `Dijual’ Gadis 20-an

“Giliran seterusnya!”, kedengaran suara dari bilik sebelah memanggil jelas; lalu aku segera membuntuti Adam masuk ke bilik itu.
      “Adam?,” tanya gadis berkaca mata jenama antarabangsa dan berpelekap gigi itu.
      “Saya,” Adam menjawab lembut.
      “Mengapa awak tidak menurunkan cop jari? Itu sebab permohonan awak ditolak,” kata gadis berusia sekitar 20-an itu penuh yakin tanpa disoal.
      “Cop jari di mana? Bukankah cop jari saya ada di mana-mana pintu keluar masuk Malaysia,” Adam menjawab jujur.
      “Yang pasti awak PATI (Pendatang Tanpa Izin) sekarang,” katanya lagi sambil membetulkan kedudukan kaca matanya.
      “Awak kena balik sebelum ditangkap,” gadis itu terus menjatuhkan hukuman.
      “Apa yang boleh dibuat bagi membolehkan saya terus berada di Malaysia?,” Adam bertanya tenang. Pengalaman kira-kira 20 tahun sebagai `pelancong’ yang bekerja di Malaysia tidak menggentarkannya dengan `hukuman’ itu.
      “Awak kena bayar RM1,500 lagi. Saya sudah berunding dengan Menteri. Syarikat ejen pekerjaan saya diberikan kuota yang agak besar bagi membolehkan sesiapa yang sudah mendaftar diberikan permit,” katanya bagai seorang Ketua Wanita UMNO Kebangsaan.
      “Baharu malam tadi perundingan dapat dibuat,” celah ibu Sang Gadis yang bagai ke siku gelang emasnya.
      “Apa jaminannya?” aku segera mencelah bagai tidak sabar melihat silat pulut yang ditarikan oleh gadis itu dan ibunya.
      “Jaminan tidak adalah tapi kalau kena tangkap, telefon saya segera,” kata gadis itu lagi dengan keyakinan 101 persen.
      Adam diam seketika.
      “Pasport saya sudah mati. Cik Ina sahaja sudah pegang passport saya lebih dua bulan. Bagaimana mahu pulang?”
      “Saya sudah buat arrangement dengan Menteri dan Imigresen di lapangan terbang. Bayar sahaja upahnya,” kata gadis bernama Ina itu lagi.
      “Wang lagi!,” Adam bagai hilang sabar.
      “Memang! Semuanya perlukan wang – hendak bayar polis, hendak bayar Imigresen dan bayar orang Menteri,” Ina memberi alasan tanpa berselindung.
      Aku terus melihat rentak silatnya.
      “Cepat buat keputusan! Di luar tu ramai lagi,” Ina memberi petunjuk supaya segera keluar dari bilik di Tingkat 3 Bangunan Tabung Haji, Jalan Ipoh itu.
      “Beginilah. Biar saya ambil balik duit saya,” kata Adam pasrah.
      “Bukankah senang kalau buat keputusan awal.
      “Adam! Mengikut resit, awak bayar kami RM1,700. Betul?”
      Adam mengangguk.
      “Daripada RM1,700 ini saya tolak RM400. Andy wakil saya di Seremban sudah ambil wang komisennya. Syarikat saya pula ambil RM800 untuk urusan laporan polis, bayar `ejen’ kami di Jabatan Imigresen dan ramai lagi yang kena bayar,” Ina memberi penjelasan sambil merujuk catatan bertulisan tangan yang mungkin sudah ditunjukkan kepada ratusan atau ribuan pendatang asing.
      “Ini baki RM500,” katanya sambil menyerahkan beberapa helai not RM50.
      Adam segera mengajakku keluar.
      Sewaktu dalam kereta dalam perjalanan pulang, Adam sempat memeriksa pasportnya dan sampul surat yang berisi lapan keping foto pengenalan dirinya.
      “Bang! Foto ini tidak diusik langsung. Foto mana agaknya yang digunakan untuk mengisi borang Imigresen dan lain-lain?,” tanya Adam.
      Aku mendiamkan diri dan terus memandu laju untuk masuk ke Jalan Mahameru.
Catat Ulasan