Halaman

Jumaat, 31 Januari 2014

Percakapan Anak-Ayah

Ketika saya hampir di pintu pagar rumah tiba-tiba anak saya yang berusia 10 tahun meluru ke arah saya. "Ayah, ayah...!" jeritnya seperti ada sesuatu yang penting ingin disampaikan kepada saya.
      "Ayah, ayah...!" Dia memegang tangan saya seolah-olah tidak sabar ingin menunggu saya masuk.
      "Kenapa ni? Ayah nak solat asar dulu. Lepas tu adik cerita," jelas saya sambil terus memanjat tangga menuju bilik ruang atas untuk segera menunaikan kewajipan diri.
      Setengah jam kemudian di sofa ruang tamu, anak saya sudah sedia menunggu. "Kenapa dik?"
      "Ayah, ketua darjah adik letak jawatan. Tak tahu kenapa. Dia hantar surat kepada cikgu kelas. Tadi cikgu kelas adik minta adik jadi ketua darjah. Boleh tak ayah?," ceritanya sambil mendesak.
      Saya merenung wajahnya dalam. Fikiran saya jauh melayang terkenangkan diri saya yang pernah menjadi ketua darjah ketika bersekolah dulu. Saya teringatkan betapa susahnya menjadi ketua darjah kerana dengan jawatan itu saya terpaksa melakukan kerja-kerja lain selain kerja sekolah - melayan kerenah rakan-rakan yang nakal; mewakili rakan-rakan ke mesyuarat dan macam-macam lagi. Lama juga saya melayan kenangan itu.
      "Boleh tak ayah?" desak anak saya manja. “Bolehlah ayah, bolehlah, bolehlah...," desaknya lagi.
      "Beginilah dik, jika adik ingin membuktikan yang adik boleh menjadi pemimpin yang baik, adik terima sajalah jawatan itu. Tapi, bukankah adik dah jadi pegawas sekolah? Mana boleh seorang anak murid pegang dua jawatan penting di sekolah?"
      "Bolehlah ayah… Ayah tengok perdana menteri kita tu. Kata cikgu adik, dia jadi perdana menteri dan jadi menteri kewangan. Dekat sekolah adik pun cikgu adik tu pegang banyak jawatan. Cikgu adik tu jadi cikgu kelas, jadi cikgu keceriaan sekolah, jadi cikgu buku teks, jadi jurulatih hoki dan jadi cikgu disiplin. Ayah tengok tu, berapa jawatan cikgu adik? Boleh tak ayah, adik nak jadi ketua darjah?"
      "Hehehehe, terpulanglah pada adik? Janji adik periksa dapat nombor 1. Kalau rasa tak boleh, tak payah." Saya bertegas dengan jawapan saya.
      "Terima kasih ayah. Adik sayang ayah."
      "Ada tak cikgu kata nak buat undian memilih ketua darjah tu?"
      "Tak ada. Cikgu kata kita tak perlu buang masa dan membazir."
      "Habis tu, memang tak ada calon lain ke selain adik?" tanya saya.
      Cikgu adik kata adik paling layak sebab adik pernah menjadi timbalan ketua darjah waktu darjah 3 tahun lepas. Cikgu kata lagi, adik ok."
      "Kawan-kawan adik setuju dengan cadangan cikgu tu ke?"
      "Setuju sebab kawan-kawan adik sokong adik. Kawan-kawan adik semua suka pada adik. Kawan-kawan adik kata adik suka belanja kawan-kawan makan sebab itulah kawan-kawan adik suka pada adik."
      "Itu rasuah namanya?"
      "Ayah, itu bukan rasuahlah ayah. Adik belanja dia orang sebab kawan adik yang nama dia Topo selalu bagi duit pada adik. Dia anak orang kaya. Dia selalu bagi adik duit sebab adik selalu tolong dia buatkan kerja sekolah dia."
      “Tolong tunjuk atau buat kesemua kerja sekolahnya?”
      “Buat semualah ayah.”
      “Itu juga salah adik,” saya berterus-terang.
      “Macam mana pula salah ayah? Baharu kelmarin adik terdengar Cikgu Ahmad dan Cikgu Munah berbual. Kata mereka bukan susah sangat hendak dapat ijazah sekarang. Kerja kursus boleh upah. Tesis pun boleh diswastakan,” adik galak bercerita.
      “Semalam juga ada baca cerita dalam blog ceritaapaapasaja, bila ada duit Menteri pun boleh beli ayah,” adik terus memperteguhkan alasannya.
      Tiba-tiba beberapa bilik kuliah di UPM sekitar tahun 80-an tertancap kuat di mata. Masih jelas benar betapa keropok lekor Terengganu bertukar tangan dari Harun kepada pensyarah dan betapa ringannya tangan Said Ahmad mengupah Seri Devi menyiapkan semua kerja kursus dan tesisnya.
      Harun kini bergelar Profesor dan Said pula salah seorang Pengarah Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia. 
oleh: Shamsudin Othman
nota: tujuh para terakhir disambung oleh Sang Pencerita.
Catat Ulasan