Khamis, 23 Januari 2014

`Haji' Kannan

Sewaktu bersembang kosong di laman Inap Desa Agro Kraf, aku lihat Kannan agak muram malam itu.
     Beberapa kali aku terdengar perkataan Thaipusam sewaktu dia berbual dengan rakan sekerjanya, Rajendran. Lalu aku segera teringat bahawa keesokan harinya penganut Hindu di Malaysia akan berkunjung ke Batu Caves.
     Segera juga tertancap dalam fikiran, Joshy seorang lagi rakan sekerjanya yang juga pekerja asing dari Pondicherry, India itu telah meminta aku mencetak foto kunjungan mereka ke Batu Caves nanti yang akan diambil dengan kamera milik syarikat tempat mereka bekerja.
     “Abang! Kami tak jadi pergi Batu Caves. Wang tak ada. Gaji belum masuk,” cerita Kannan dengan suara halus keperempuanannya tanpa diminta.
     “Apa sebab tak ada minta sama bos `advance’?,” tanyaku segera. Kannan dan Rajendran cuma menjawab dengan gelengan kepala.
     Teringat dalam kocek seluarku ada dua not RM50.00 dan aku segera menawarkan mereka duit itu.
     “Tak ada cukuplah abang,” lagi suara perempuan Kannan kedengaran.
     “Takkan RM50.00 tak ada simpan?,” aku bertanya lagi.
     “Tak adalah abang. Semua sudah hantar balik India,” cerita Kannan berterus-terang.
     Jawapan Kannan itu munasabah. Sewaktu balik dari India selepas bercuti lima bulan baru-baru ini, dia beria-ia sangat meminta aku mencetak foto banglo yang baharu siap dibina dan motosikal buatan India ala Jaguh buatan Malaysia melalui chip telefonnya.
     “Abang! Saya betul-betul mahu sembahyang dekat Batu Caves. Saya sudah lapan tahun tinggal Malaysia; satu kalipun tak dapat pergi sana,” katanya bersungguh-sungguh.
     “Abang! RM100 sudah cukup – tambang bas, beli kelapa dan mahu cukur kepala. Saya dengar kelapa sama cukur sudah naik harga ini tahun,” Kannan memperteguhkan permintaan.
     “Ini macam. Sekarang saya telefon Rameli. Saya kasi RM50 satu orang. Nanti saya minta Rameli kasi pinjam RM50 lagi,” kataku yang merujuk penyelia syarikat lanskap tempat mereka bekerja.
     Rameli bersetuju dan berjanji akan datang berjumpa keesokan paginya.
     Bagaimanapun awal pagi keesokan harinya aku lihat Kannan sudah bersedia dengan pakaian terbaiknya.
     “Rajendran mana? Dia tak pergi ke?,” tanyaku ingin tahun.
     “Rajendran tolong saya abang. Duit abang kasi semalam, dia kasi saya. Rameli telefon tak dapat beri itu wang,” katanya.
     “Saya mahu cukur kepala abang. Mahu buang dosa,” kata Kannan bagai seorang bakal haji yang mahu berangkat ke Makkah.
     Pada pagi berikutnya aku lihat Kannan begitu ceria dengan kepala botaknya.
     “Terima kasih abang!,” dia lalu memujiku dan secara sinis memperkecilkan majikannya.
     “Jangan cakap itu macam Kannan. Awak sudah naik `haji’. Awak punya bos saya punya kawan. Tak ada baik cakap itu macam,” tegasku.
     “Abang! Cakap terang-terang. Saya tak ada wang mahu ganti abang punya wang,” Kannan bagai merayu.
     “Tak payah ganti. Hari Ahad ini awak cuti bukan? Angkat saya punya mesin rumput, kasi bersih saya punya kebun.”
     Aku dapat melihat senyuman paling manis Kannan sejak mengenalinya lebih dua bulan lalu.

Tiada ulasan: