Halaman

Rabu, 16 Oktober 2013

Kita Pun Bakal Tua

Orang tua dan kanak-kanak wajar disantuni. Sebabnya orang tua merupakan gambaran masa akan datang kita, kanak-kanak pula gambaran masa lalu kita.
    Berbanding kanak-kanak, saya lebih gemar menyantuni orang tua.
    Saya jatuh hati dengan suami saya sekarang ini pun kerana melihat dia menyantuni seorang tua yang tidak dikenali.
    Peristiwanya?
    Seorang lelaki tua sedang bersusah payah mengeluarkan dari dalam kereta, isterinya yang sangat uzur untuk dibawa ke klinik di seberang jalan. Anak lelaki pasangan itu ada, tetapi kelihatan bermalas-malasan untuk membantu mengangkat ibunya. Uzur sekali nenek tua itu. Badannya lembik, langsung tidak mampu berdiri. Lama juga suaminya bertungkus-lumus sehingga kelihatan mula berputus asa.
    Tiba-tiba suami bangun. Tanpa berkata apa-apa, dia meninggalkan saya. Dia menyeberangi jalan, menuju ke arah pasangan itu. Dia bercakap-cakap sebentar dengan lelaki tua itu, untuk memohon keizinan. Lantas tangannya mencempung nenek tua dan terus mengangkatnya ke klinik. Petugas di klinik terus memberi laluan kepada nenek itu kerana keadaannya yang kritikal.
    Esoknya, saya pun menamatkan penantian suami yang sudah bertahun-tahun itu dan bersetuju untuk berkahwin!
    Kenapa saya selalu berasa orang tua lebih wajar disantuni berbanding anak-anak kecil?
    Semua orang berasa "geram" kalau melihat bayi. Pipinya dicubit lembut, didukung dan dimanjai. Orang tua? Adakah kita "geram" melihat wajah orang tua? Picit pipinya? Dukung dia?
    Kadang-kadang kita sampai hati memalingkan muka apabila melihat orang tua. Maklumlah sudah tidak cantik. Muka berkedut-kedut, rambut sudah beruban dan nipis, kulit tangan pun berkedut, jalan pun terbongkok-bongkok!
    Malahan ada juga yang merasakan orang tua hanya menyusahkan hidup kita!
    Orang-orang yang semacam itu agaknya berfikir bahawa mereka berada di syurga, tidak akan tua selama-lamanya. Kulit akan terus tegang, rambut akan terus hitam!
    Satu hari nanti kita akan merasai semuanya itu jika Allah mengurniakan usia panjang. Kita akan membebel-bebel seperti  itulah. Saat itu, kita tahulah betapa sedihnya hati jika tidak dipedulikan.
    Dahulu, ada juga seorang tua yang rumahnya di atas bukit. Saya pula sempat bertugas sebagai seorang guru di kampung. Tidak lama, dalam dua tahun begitu. Jika saya dalam perjalanan ke pekan, selalu saya nampak orang tua ini dengan tongkatnya menunggu kereta sapu atau bas di tepi jalan.
    Kadang-kadang dia menunggu di bawah panas matahari kerana di situ tiada pondok menunggu bas. Saya selalu berhenti dan mengajaknya naik ke kereta buruk saya. Mahu naik kereta pun dia mengambil masa. Maklumlah dia sudah tua, tetapi masih belum dapat melupakan kebiasaan dan ketagihannya minum kopi di pekan.
    Anak-anak saya pun sudah tahu waktu-waktunya dia akan menunggu di tepi jalan. Anak-anak saya masih kecil saat itu, baru di tadika. Mereka akan sama-sama membantu saya menolak lelaki tua itu mendaki bukit menuju ke rumahnya. Walaupun kepenatan kerana keadaan bukit yang curam, tetapi saya selalu beritahu anak, itu merupakan satu latihan kecergasan.
    Mereka pun tidak pernah merungut, malahan membantu menolak atuk itu dengan bersungguh-sungguh.
    Apabila saya berpindah meninggalkan kampung, ayah selalu beritahu yang lelaki tua itu kerap bertanyakan saya. Dia selalu menunggu di tepi jalan tetapi kelibat saya dan anak-anak sudah tidak ada.
    Lebih kurang beberapa tahun sebelum ayah meninggal dunia, atuk itu pun dijemput pergi. Ayah memberitahu saya, Atuk itu diabaikan anak-anaknya. Rumahnya diambil dan atuk itu hampir dihantar ke rumah orang-orang tua. Tetapi dia tetap mahu menghabiskan hayat di rumah yang menjadi kenangan dia dan arwah isterinya. Allah mengabulkan doanya dan dia meninggal di rumahnya itu. - Ratna Laila
Catat Ulasan