Khamis, 3 Oktober 2013

Sang Penjaja Buku

Pagi semalam, seperti yang dipersetujui bersama ketika bersarapan awal pagi itu, aku dan Mohd Ali Hasbullah rakan karibku menuju Terminal One, Seremban. Hasrat utamanya, mencari pempamer di Pesta Buku Negeri Sembilan yang bersedia menjual buku yang telah lama tersadai di stor, sebelah rumahku.
     Setelah pusing-pusing seketika untuk mencari pempamer yang mungkin dikenali (aku pernah berurusan dengan kontraktor buku hampir 10 tahun sewaktu bertugas sebagai Ketua Pusat Sumber IPG Kampus Raja Melewar) akhirnya aku menemui nama syarikat yang biasa berurusan sewaktu bekerja dahulu – Farana Books Resources.
     “Encik Farid tak datang ke?,” aku lantas bertanya kepada seorang wanita berusia sekitar hujung 30-an setelah dapat mengesahkan dia pemilik gerai itu.
     “Encik Farid? Encik Farid pemilik Farid Resources tu? Farana Resources milik saya,” katanya berterus-terang.
     “Dulu waktu saya kerja dia masuk sebut harga pakai nama kedua-dua syarikat ini,” aku memberi reaksi. Wanita itu mendiamkan diri sahaja.
      Setelah menelefon Farid agar mudah Rozilah (pemilik Farana) mengetahui latar belakangku, aku kembali ke gerai itu semula.
     “Maaflah Encik. Saya tidak ada ruang untuk jual buku Encik. Gerai ini sempit,” katanya terus-terang.
     Tanpa membuang masa aku ke gerai lain pula tetapi turut mendapat jawapan yang sama walaupun pada mulanya telah bersetuju dengan kaedah `consignment’ (jual dahulu. Duit dikira selepas jualan dibuat).
     Setelah pekena Chicken Chop dan air limau kasturi ais bersama Mohd Ali di restoran berdekatan pesta, aku mencari lagi pempamer yang sudi.
     Akhirnya aku ke gerai Mawaddah Books Sdn Bhd.
     “Apa khabar Cikgu,” tegur pemilik kedai yang rupanya kenal akan aku.
     “Baik!,” jawabku lantas menyatakan hasrat sebenar.
     “Berapa hendak jual ni?”
     “Kalau ikut harga asal, set lapan buku yang tebal ini dijual RM196.00 dahulu. Dan set yang nipis ini RM72.00.”
     “Jadi, nak jual harga itu lagikah?”
     “Tentu tidak. Agaknya berapa harga yang sesuai?”
     “Yang nipis ini bolehlah saya ambil RM5.00 satu set. Yang tebal ini tak boleh lebih RM30.00.”
     Aku terkebil-kebil dan Mohd Ali faham suasana itu.
     Maka segera tertancap di mataku dua wajah yang turut bersama-sama sewaktu merancang jualan buku itu lebih dua tahun lalu.
     Ia bermula dengan MM (Sang Editor) yang `menemukan kembali’ aku dengan GNA penulis yang kemudiannya menjadi penerbit kecil dua set bukunya.
     GNA adalah rakanku sewaktu bujang dahulu. Aku tak pasti sama ada MM tahu aku pernah mengenali GNA sewaktu merekomenkan aku sebagai pencetak buku-bukunya atau sebaliknya.
     “Kau jangan risaulah Zul. Aku dapat Dana Kreatif. Dua minggu lepas cetak, aku bayar balik. Kau tengok ni, berapa nilai LO (Local Order) atas meja ini?,” katanya yakin sambil meletakkannya di atas meja makan Allson Klana Resort.
     Maka beralihlah wang hampir RM100,000 daripada wang simpanan adik bongsuku dan Shariff Ahmad, sahabatku untuk membiayai kerja-kerja cetak buku itu.
     Maka dicetaklah 3,000 naskhah bagi setiap judul dan mengikut persetujuan setiap seorang daripada kami akan menjualnya 1,000 set setiap seorang.
     Setelah tempoh dua minggu berlalu, GNA berjanji pula akan membayarnya dalam tempoh dua minggu lagi dan kemudian dan kemudiannya dia mencipta pelbagai alasan sehingga pernah aku katakannya kepadanya, “Ada lagikah idea mencipta alasan baharu? Rasanya dah habis kau guna!”
     Kini masa dua minggu telah melepasi lebih dua tahun. MM telah menjual bahagiannya kepada pembeli `suratkhabar lama’ tanpa memberitahu pembiaya.
     Sang penerbit pula hingga kelmarin masih yakin, “Kau tunggulah Zul. Aku akan bayar. Aku tak pernah berniat menipu kau.”
     “Tidak berniat untuk menipu? Kau sudah tidak tahu lagikah mengira antara dua minggu dan dua tahun? Penipuan sudah berlaku! Takkan hendak menipu perlu juga berniat!,” bentakku hingga dia tidak mahu menjawab panggilan telefonku lagi.

Tiada ulasan: