Rabu, 2 Oktober 2013

Wajah itu sudah kehilangan cahayanya...

Hajat nak bertemujanji dengan Cikgu Zulkifli Abu tidak kesampaian hari ini, nasib baik ada orang lain yang sudi meneman. Jemput makan cikgu! — at Umai D'Lake Cafe,Putrajaya.
Sejak pagi aku telah merasakannya, dengan kelima-lima pancaindera ini, ada sesuatu yang tidak tertuntas hari ini.  Panggilan telefon yang kuterima di setengah perjalanan itu, mengesahkan lagi rasa itu. Sesungguhnya manusia ini hanya tahu merancang, tapi Allah yang Rahim itu lah yang lebih mengetahui dan mengaturnya.  
    Perut yang hanya kuisi dengan segelas air putih pagi tadi sudah mula berkeroncong irama.  Lantas aku terus menuju ke restoran di tepi tasik, tempat pertama yang kurencanakan untuk pertemuan hari ini.  Bau gorengan jemput-jemput pisang melata di seluruh restoran itu, menambah rancaknya lagi irama keroncong dalam perutku.  
    Angin bertiup sepoi sambil mengocak tenang air di tasik.  Monumen warisan yang tegak menjulang sebagai tanda ketinggian teknokrat tetap setia berdiri teguh di tebing tasik itu.    
    Tidak nampak ada kegusaran, kerana tenangnya air tasik yang mengocak perlahan di kakinya.  Nun di seberang jalan, ada keramaian berlangsung, manusia warna warni silih berganti datang meramaikan acara di sana.  
    Aku hanya melihat dari kejauhan, dari balik dinding kaca restoran ini. Anak ku sesekali teruja, sambil menjerit girang melihat seorang pemuda menaiki 'parachute glider'  dengan payung berwarna merah samar terbang melintasi tasik.  Sesekali, bot pasukan keselamatan melintas di tepi tasik sambil menunjuk aksi buat si pemerhati.  
    Kegirangan anakku melihat persembahan percuma itu mengurangkan rasa tak kesampaian yang kualami sejak tadi.  Lewat tengah hari itu, sebaik sahaja kelaparan yang bertamu tadi hilang, aku memutuskan untuk ke pejabat lamaku.  
    Kebetulan, ada yang berpesan meminta aku menitip jajan daganganku buat mereka.  Suasananya masih sama, cuma dekorasinya makin cantik, sementelahan baharu sahaja dianugerahkan sebagai pejabat dan jabatan pengamal 5S.  
    Sudah tentu kelangsungan itu diteruskan sebagai janji persijilan yang diterima.  Waktu rehat yang panjang tengah hari Jumaat membuatkan suasana pejabat yang hiruk-pikuk sentiasa itu sunyi  seketika, hanya seorang dua staf yang masih tinggal menunggu pejabat, mungkin sudah kenyang atau ada tugas yang perlu disegerakan.
     Saat aku melewati barisan kekotak meja pegawai, ada suara halus menyapa.  "Assalammualaikum Mer...Mer sihat?".  Aku yang leka memerhati langkah anak kecilku yang asyik memegang IPadnya sambil berjalan, mana tahu takut nanti terlanggar bucu meja atau dinding, terpempan seketika.
    "Eh, Kak N! aahhh..ba… baik...waalaikum salam," balasku dengan sedikit gagap.  Aku terkejut sebenarnya, melihatkan wajah yang menyapa sedikit cengkung, dengan lingkaran hitam disekitar mata kelihatan jelas.
    "Akak sihat? Erkk...Akak sakit ya?," segera aku mendekatinya.  Ya, wajah yang sentiasa kemas bersulam senyuman selalunya sebelum ini kelihatan sugul dan  resah. Sejambak dua rambutnya sudah terjulur keluar dari  'awning' tudung yang dikenakan.  Barisan giginya kelihatan agak jarang dan sedikit jongang.
    "Akak ni macam ada buat rawatan kemoterapi atau dialisis je rupanya?," tebakku perlahan dalam hati sambil kurenung dalam mata Kak N.  
    "Ya Mer, akak sakit..., buah pinggang akak dah rosak kedua-duanya, seminggu tiga kali buat dialisis," lambat dan lemah jawapannya.  
    Ah, tepat sekali jangkaanku! Kak N yang sentiasa riang, cergas dan bersemangat tidak sama dengan Kak N yang ada didepanku sekarang ini; lemah, murung dengan pandangan mata seolah-olah memohon aku mengurangkan penderitaannya.  Aku kehilangan kata-kata seketika. Selama lebih kurang lima minit aku sekadar berbasa basi dengan Kak N, cuba menutup kejanggalan yang kian terasa.  
    Aku sebenarnya tidak tahu, bagaimana nak mengembalikan semangat Kak N bila mana hati kecilku sendiri merasakan jiwa itu sekadar menunggu masa.
    "Ya Allah, ampunkanlah aku! Aku bukan ingin mengatasimu, aku hanya hambamu yang lemah di sisiMu, kau ringankanlah beban Kak N, Kau kurangkanlah penderitaannya Ya Allah, sesungguhnya Engkau yang maha mengetahui setiap aturan, kepadaMu lah aku bermohon, Ya Allah Ya Rabbal Alamin," panjang sekali hatiku merintih memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.  
    Sebelum berpisah petang itu, kugenggam erat tangan Kak N, sambil ku selitkan sekeping RM. "Kak, ambillah wang ni kak, bukan nak tunjuk simpati, tapi anggaplah hadiah hari jadi yang tak pernah saya ingat sebelum ini. Maafkan saya andai selalu endah tak endah pada akak. Gunakanlah untuk membeli vitamin penambah tenaga, moga Akak terus diberi kekuatan dan ketabahan  mengharungi dugaan ini, baca lah surah Al Kursi dan Yasin selalu Kak kerana musibah ini datangnya daripada Allah dan Dia jualah penyembuhnya, kuatkan semangat ya, nanti kita jumpa lagi," aku memujuk sambil kupeluk erat Kak N.  
    Jauh di sudut hatiku, aku benar-benar tidak pasti, adakah aku dapat bersua kembali dengan Kak N.  Kak N atau mungkin aku? Engkaulah yang maha mengetahui, Ya Allah!
Oleh: Merhayati Sipon

1 ulasan:

ceritaapaapasaja berkata...

SEPERTI yang dikatakan sebelumnya, Mer mempunyai kekuatan berbahasa; kosa kata yang digunakan pelbagai dan segar.
Gaya penceritaan bersahaja dan ini memenuhi kehendak blog ini. Syabas! Sila hantar cerita lagi!