Mata
tertancap pada sebuah buku...
Sebenarnya sudah berbeza kulit hadapannya
daripada naskah teks sastera karya Khadijah Hashim yang saya tekuni pada
tahun-tahun 1982-1983.
Memang ada jodoh...
Saya baru sahaja menulis tentang Badai
Semalam. Rasanya baru semalam. Petang ini saya menemui naskah itu di rak bawah
sebuah toko buku.
Sebetulnya saya menunggu suami. Waktu
menelefon, dia baru sahaja keluar pejabat. Saya mencongak-congak. Barangkali
lewat petang, baru dia tiba ke lokasi yang dijanjikan. Oleh yang demikian, saya
mengambil peluang mengisi waktu dengan melepak di toko buku.
Di situ sahaja saya mampu bertahan lama.
Menatap buku-buku, pasti melekakan saya merentasi masa tanpa sedar.
Saya buru-buru membeli. Lekas-lekas pula
mencari tempat untuk membaca. Bukan tebal sangat pun. Sekejap sahaja pasti saya
dapat menghabiskannya.
Mengulang semula buku itu, benar-benar
mengembalikan saya ke Tanjung Puteri. Saat sedih Mazni yang kematian suami,
mengucapkan kata-kata "selamat tinggal Tanjung Puteri, kalau ada jodoh
bertemu lagi..." kembali memedihkan hati. Zaki yang sudah bergelar doktor
tetap menanti. Dulu-dulu, saya dan kawan-kawan selalu berbahas, apakah yang
akan terjadi kepada Mazni dan Zaki? Adakah mereka akan berkahwin atau mereka
memang sudah takdirnya tiada jodoh...?
Walhal, kesudahannya hanya Khadijah Hashim
yang tahu!
"Melihat" Mazni, sejujurnya
seperti melihat diri saya. Dia anak miskin yang terpaksa mendepani seranjau
masalah hidup. Nampak lembik-lembik begitu, tetapi "degilnya" Mazni
untuk memburu cita-cita, mengejutkan semua orang termasuk bekas kekasihnya,
Zaki.
Kesukaran makin menjadikan dia kuat!
Entah mengapa penemuan buku itu
menggembirakan saya. Pelik betul. Penat menanti suami tidak terasa. Selalunya
saya sudah gelisah-gelisah. Sekejap ke bilik air, sekejap menjengah-jengah
seperti burung unta.
Hari ini walaupun lewat, saya tetap akan
hadiahkan suami sebuah senyuman!
Pasti dia pun tertanya-tanya sebab saya
tersenyum-senyum walaupun muka berminyak-minyak menunggu dia yang lewat.
Jangan-jangan dia curiga...
Kalau dia bertanya, saya akan diam. Pasti
seronok melihat dia meneka-neka. Tapi kalau saya beritahu, saya gembira kerana
ketemu Badai Semalam, dia fahamkah?
Dia bukan orang sastera. Membaca pun tidak
rajin (kata yang manis untuk "malas").
Tapi saya tidak kisah dia faham atau tidak.
Sebab yang penting, saya gembira ketemu semula dengan naskah yang sudah lama
saya cari.
Badai Semalamku...
oleh: Ratna Laila
Tiada ulasan:
Catat Ulasan