Halaman

Jumaat, 31 Oktober 2014

Dikencing Mat Handsome

Projek ini tertangguh sekitar enam bulan kerana ada masalah sewaan
dan pembelian tanah yang belum selesai.
Mat Handsome adalah pekerja kami yang pertama sewaktu Laman Sang Pencerita memulakan kerja-kerja tapak di tanah yang terletak di bahagian lembah tanah isteri di Batu 7, Jalan Labu.
    Ada banyak kriteria yang membolehkan Mat Handsome menjadi pilihan utamaku – dia jiran paling dekat dengan tapak taman tema mini kami, dia tiada kerja tetap (antara niat projek ini dibuat adalah untuk memberi peluang orang kampungku bekerja), isterinya adalah teman bermain isteriku sejak kecil, isterinya sering membantu Allahyarhamah ibu mertuaku yang tinggal sendirian, dia pandai bertukang dan berkebun; dan deretan kebolehan lagi.
    Aku tahu pandangan popular penduduk kampung mengenai Mat Handsome. Hampir kesemuanya negatif; malah aku tahu dialah pemungut durian kebun kami, dialah yang menoreh getah peninggalan mentua dan lebih teruk; dia antara pengumpul koleksi peralatan kebun/ bertukang Allahyarham bapa mentuaku selepas meninggal dunia.
    “Aku rasa kau tak payah ambil dia bekerja. Susah kau nanti,” begitu kata Kudus, abang iparnya sendiri.
    “Dus! Kalau tak ada orang beri dia kerja, sampai bila-bilapun tangannya tidak akan pendek,” aku memberi alasan.
    “Terpulang pada kaulah,” kata Kudus lagi sambil mengisi minyak keretanya di stesen berhampiran rumah kami.
    Tidak sampai dua minggu bekerja, kelibat  Mat Handsome tidak kelihatan lagi di tapak projek walhal rumahnya hanya terletak di seberang jalan.
    Menyedari chainsaw kami yang baharu dibeli hilang, aku meminta Afza, pekerja sambilan kami ke rumahnya untuk bertanya.
    “Uncle! Mat Handsome kata dia tak akan pulangkan chainsaw itu selagi gajinya tidak dibayar,” lapor Afza.
    Tanpa berlengah aku segera ke rumahnya.
    “Mat! Macam mana pula kau kata aku tak bayar gaji. Malah kau dah terlebih ambil kerana selalu advance!”
    “Haji dah lupa janji. Kata nak bayar RM100.00 sehari macam budak Indonesia tu,” Mat Handsome menjerkah. Dia mula menunjukkan warna sebenarnya.
    “Bila pula saya kata RM100.00 sehari. Waktu aku jumpa kau dulu, aku suruh kau sendiri tetapkan gaji. Kau kata selalunya orang bayar kau RM60.00 sehari,” aku cuba mengingatkannya sewaktu `meminangnya’.
    “Mana chainsaw tu. Kami nak pakai,” aku mula bertegas.
    “Ada kat dapur tu. Saya tak akan lepaskan kalau Haji tak bayar baki gaji saya,” gerak mata Mat Handsome yang cedera sebelah memancarkan kehodohannya.
    “Macam nilah Mat. Aku tak suka gaduh. Ambil sahaja duit ni tapi ini bukan baki gaji kau. Aku hadiahkan sahaja pada kau.
    “Apa yang aku mahu, bercakap benar sahaja. Betul tak kau minta RM60.00 sehari dulu; bukan RM100.00”
    “Betul Ji! Tapi saya selalu sesaklah Ji.”
    “Ok! Esok datang kerja macam biasa,” pintaku.
    “Baiklah Ji. Terima kasih banyak Ji! Nasib baik Haji tolong. Nak beli barang makanpun tak ada Ji,” katanya sambil menghulur chainsaw yang baharu berusia seminggu itu.
    Sejak hari itu Mat Handsome telah memecat dirinya.
    “You are fired!,” aku bagai terdengar Mat Handsome menjerit kepada dirinya.
Catat Ulasan