Jumaat, 31 Oktober 2014

Taubat Mat Handsome

Mat Handsome kata dia selalu nampak sepasang
rusa di tapak projek Laman Sang Pencerita. "Pelancong suka nanti tu Ji!" 
Pagi tadi sewaktu mewawancara Along Abob yang aku anggap boleh dijadikan Petani Mithali, aku didekati Mat Handsome.
    “Tuan Haji! Boleh cakap sekejap,” pintanya ringkas sambil membawa aku ke kedai sebelah yang masih belum dibuka. Isterinya ditinggalkan sendirian di meja makan.
    “Cakap terang-teranglah Ji. Saya nak pakai duitlah,” Mat Handsome bagai mahu membuktikan janjinya kepadaku dulu supaya bercakap benar dan berterus-terang.
    “Nak buat apa?”
    “Saya nak jamin anaklah,” dia bagai berbisik.
    “Apa salah dia?”
    “Inilah budak-budak muda sekarang. Pasal campur budak jahat, anak saya jadi jahat juga,” katanya persis tidak mahu mengakui kesilapannya sendiri.
    “Dia baharu belajar benda tu Ji,” dia cuba meyakinkanku sedangkan aku tahu bukan anaknya sahaja yang ambil dadah malah Mat Handsome juga begitu.
    “Shabu, ektasy atau heroin?”
    “Ganja je Ji,” selamba sahaja Mat Handsome menjawab.
    Aku lupa nama anaknya itu tapi di hari pertama bekerja Mat Handsome tidak sendirian tapi turut membawa anaknya.
    “Bayar dia RM50.00 cukuplah Ji. Dia budak-budak lagi,” pekerja memberi arahan kepada majikannya pada hari pertama bekerja.
    Aku tahu itulah satu-satunya anak Mat Handsome. Dialah gunung dan dialah payung. Menurut cerita orang kerana sayangkan anaknya, Mat Handsome ikut sahaja kehendaknya termasuk tidak mahu meneruskan persekolahan.
    “Berapa nak pakai?”
    “Seribu Ji.”
    “Banyak tu!”
    “Saya boleh bekerja dengan Haji balik. Nanti tolaklah gaji saya,” sekali lagi Mat Handsome memberi arahan.
    “Kalau nak cepat habis bayar, saya bawa anak saya sekali. Keluar lokap nanti, terus bekerja dengan Haji.”
    “Beginilah! Saya boleh tolong. Tapi dengan satu syarat.”
    “Apa syaratnya Ji.”
    “Jangan ulang cerita dulu.”
    “Saya janji Ji. Taubat tak buat lagi.”
    “Esok datang ke kebun.”
    “Pukul berapa Ji?”
    “Pukul lapan.”
    “Baik Ji. Terima kasih banyak-banyaklah selalu tolong saya,” wajah Mat Handsome bercahaya semula. Satu lontaran senyum dihantar ke meja isterinya.

Tiada ulasan: