Halaman

Khamis, 23 Oktober 2014

Terung Telunjuk, Si Bunga Kantan

SIFAT semula jadiku yang agak pemalu bertandang juga sewaktu aku mula-mula menghantar hasil tanamanku kepada peniaga Pasar Tani di Taman Paroi Jaya.
      “Lado api RM20.00 sekilo. Sini ada dua kilo. Terung telunjuk tiga kilo kali RM3.00. Jadi semuanya RM49.00. Tak apalah ambillah RM50.00 ini. Halal ya?,” kata Rashid dan aku segera berlalu.
      Kalau ikutkan sifir ekonomi, pendapatan itu memang tidak berbaloi jika diambil kira masa yang digunakan untuk memetik lada api yang perlu mengambil masa kira-kira dua jam itu.
      “Maknanya harga buruh memetik itu mungkin bernilai RM4.00 sejam sahaja sedangkan sewaktu menjadi pensyarah dahulu, paling minimum harga khidmat syarahanku (untuk urusan rasmi) ialah RM150.00 bagi penjawat DG48.
      Bagaimanapun aku tetap bersyukur. Setidak-tidaknya dengan berkebun, tubuh seorang pesaraku semakin mantap.
      Sebagai manusia yang diberi nikmat berfikir oleh Allah Rabbul-Jalil, aku terus-terusan juga berfikir bagaimana cara petani boleh mendapat pulangan yang lebih baik melalui titik-peluhnya.
      “Ji! Ada kawan saya yang kerja di UPM dapat RM2,000 sebulan dengan tanam bunga kantan di bawah laluan pencawang elektrik di Nilai,” suatu hari jiranku Rahman Daol,  bekas pengurus Agro Bank bercerita.
      “Percaya tak Ji? Bunga kantan dia tolak RM1.50 sekuntum. Raya dulu Aeon dan Giant jual RM5.00 sekuntum. Ramai yang nak buat laksa,” ceritanya ceria.
      “Kalau nak tanam pisang, banyak yang berpenyakit sekarang. Kalau nak tanam sayur, kenam siram har-hari. Tanam bunga kantan, tunggu petik hasil sahaja,” Rahman terus optimis.
      Makan akal dengan congakan itu, aku singgah di Segascape milik rakan seumrahku dahulu.
      “O.Klah bang. Berapa banyak abang nak? Saya boleh kelapakan. RM2.00 satu polibeg,” katanya.
      Tempahan itu bagaimanapun dibatalkan setelah mengetahui sepupuku, Idris Ahmad banyak menanamnya tapi tidak pernah dipetik untuk dijual kerana disangkanya tidak laku.
      Sambil mengambil perdunya untuk dibuat benih, aku meyakinkan Id yang aku sedia menjual bunga kantannya sewaktu menjual lada api dan terung telunjukku.
      “Buat permulaan, aku tak ambil untung. Di sini ada 20 kuntum kali RM1.50, kau akan dapat RM30.00.”
      Aku lihat Id senyum ceria.
      Sewaktu menghantar hasil tanamanku kepada Rashid di Pasar Tani Ampangan kelmarin, aku lihat ramai peniaga yang menjual bunga kantan; tidak seperti selalu kerana tidak ada bekalan.
      “Selain lado api dan terung, bunga kantan ini saya bayar RM10.00. Sekarang musim bunga kantanlah bang,” katanya bersahaja.
      Aku segera berlalu sambil berfikir bagaimana untuk meyakinkan Id yang sejak dua tiga hari ini membersihkan rumpun-rumpun kantannya yang terbiar selama ini.
Catat Ulasan