Halaman

Khamis, 23 Oktober 2014

Sang Tukang Atap 1

Dalam usaha mencari tukang baiki atap untuk rumah yang baharu dibeli isteri, aku diperkenalkan dengan Baharin sewaktu makan tengah hari di Restoran Rabena, Taman Pinggiran Golf minggu lalu.
      “Ai yo! Ini orang banyak pandai punya,” Ah Hang membuat promosi yang disokong rakan broker tanahnya, Ah Sang.
      Seorang lelaki berumur sekitar 50-an bertubuh agak gempal tersenyum bangga dengan pujian pelanggan tetap restoran yang dijadikan markas mereka sejak sekian lama.
      “Betulkah? Saya memang sedang mencari orang yang pandai baiki atap rumah,” tanyaku. Lelaki itu segera menjawab, “ Banyak dah rumah di taman ini yang saya baiki,” jawabnya bersahaja.
      Sambil diperkenalkan dengan lelaki bernama Baharin itu, kami sempat bergurau senda seperti biasa sambil menjamah makan tengah hari.
      “Rumah abang dekat mana? Tulis sahaja pada kertas ini. Pukul 3.30 nanti saya datang,” pinta Baharin mesra. Aku penuhi permintaannya.
      “Abang orang mana?”
      “Labu.”
      “Labu dekat mana?”
      “Batu 8.”
      “Kenal tak Abu? Dulu dia berniaga di warung depan SMAP (Sekolah Menengah  Agama Persekutuan).”
      “Itu bapa saya.”
      “Masya-Allah! Kecilnya dunia ini. Saya rajin singgah di situ. Gulai ikan sembilangnya first class,” katanya bercanda sambil menunjukkan jari tanda jempolan kepada Ah Hang dan Ah Sang.
      “Dulu abang kerja mana?” tanya Baharin lagi menampakkan sifat ramahnya.
      “Maktab Raja Melewar.”
      “Oh pensyarahlah tu. Kenal tak Haji Nasir yang duduk di Taman Shahbandar tu? Bulan dulu dia cuba baiki bumbung rumahnya. Dia jatuh dan sekarang badannya kurus.
      “Ai yo! Jangan main-main panjat bumbung. Tambah-tambah bila dah tua macam abang ni,” Baharin terus bercerita bagai ingin mengukuhkan hujah untuk menggunakan khidmatnya.
Catat Ulasan