Khamis, 23 Oktober 2014

Sang Tukang Atap 2

SEHINGGA jam 5.00 petang wajah Baharin yang ditunggu sejak jam 3.30 petang masih tidak kelihatan.
      Sambil menantinya di balkoni, aku terlihat Baharin sedang berlegar-legar dengan basikal dan sebuah baldi plastik tergantung di pemegang basikalnya.
      Aku segera memanggilnya. “Baharin! Dekat sini.”
      Baharin segera datang dan sesi sebut harga bermula.
      “Tunjukkan saya mana yang bocor. Nanti saya beritahu harga khidmat saya,” Tanya Baharin bagai seorang profesional.
      “Tengok rumah yang ini dahulu,” ajakku sambil membawanya ke kamar tidur utama di tingkat atas.
      “Lagi bang?”
      Aku membawanya pula ke rumah sebelah. Setelah menunjukkan empat lubang di siling plaster tingkat bawah, Baharin menemui kesan titikan air di aras atas.
      “Beginilah bang. Pagi besok saya datang. Upahnya RM850.00. Kalau Cina, tentu kena RM1,300.00 ni.”
      “Besok saya ada hal. Khamislah.”
      “Abang kalau nak buat, buat sekarang bang. Nanti bocornya lebih besar, lagi susah.
      “Lepas esok, jadual saya penuh sampai hujung bulan. Kalau abang tak ada duit, tak apalah. Walaupun saya miskin, saya tak hendak duit orang kalau guna khidmat saya kerana terpaksa,” Baharin membuat sales bagai seorang usahawan Islamik.
      Akhirnya Baharin bersetuju untuk membaiki atap itu pada hari Khamis dan aku pula bersetuju dalam ragu.
      “Oh ya! Jangan lupa. Abang sediakan tangga ya!,” pinta Baharin sambil memulakan kayuhannya.
      Malam itu sewaktu aku bercerita mengenai Baharin dan Haji Nasir yang sedang uzur, isteri dengan segera memberi reaksi.
      “Tukang atap yang naik basikal tu ke? Ani kenal dia. Dia selalu berlegar di sini. Cari orang lainlah. Dia tu tak betul.”
      Macam biasa aku tidak segera mempercayainya tapi dalam masa yang sama raguku semakin tinggi.
      Mengikut congakanku harga RM850.00 itu terlalu mahal. Lubang di siling plaster tingkat bawah itu berlubang pula bukan kerana bocor kerana atap sebenarnya ialah lantai simen tingkat atas.
      Sewaktu balik ke kampung untuk memenuhi rutin harian menolak abah ke bilik mandi, emak dan abah tidak mengenali Baharin ketika ditanya.
      “Tak perasan pula,” emak menjawab selamba. Darjah keraguanku semakin mermuncak.


Tiada ulasan: