Halaman

Jumaat, 31 Oktober 2014

Jawatan Itu Tumpang Sahaja Geng!

Aku bersama PA Pengarah, Puan Anim sewaktu diberi kepercayaan menjalankan tugas Pengarah IPG Kampus Raja Melewar
DALAM perjalanan pulang dari rumah Zamri di belakang kedai Taman Megaway, Sikamat aku ambil kesempatan untuk singgah seketika di tempat kerja lamaku – Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM).
    Waktu masih awal pagi semalam; sekitar jam 7.20 pagi. Kampus masih belum sibuk dan sebaik-baik sampai di kawasan lapang garaj; aku segera ditegur pemandu yang terkenal dengan misai tebalnya itu.
    Terlihat juga Puan A sedang berbual dengan rakan sekerjanya.
    “Cikgu, apa khabar?,” Puan A menegur mesra. Puan A pernah menjadi subordinatku sewaktu aku menjadi Ketua Pusat Sumber institut.
    “Maktab bukan macam dahulu lagi. Tidak macam zaman cikgu dahulu,” Puan A `memberi laporan’ tanpa ditanya.
    “Apa yang tak samanya?”
    “Tak tahulah cikgu. Pensyarah bukan nak campur sangat dengan kami lagi. Semacam sahaja sombongnya,” Puan A meneruskan laporan.
    Sedang asyik berbual, kelihatan seorang lagi pemandu (Encik M) tiba. Aku terlihat dia memandang ke arah kami. Dahinya kelihatan berkerut.
    “Ai yo! Banyak sombong sekarang. Sudah tak ada kenal. Itu macamlah nasib orang sudah pencen,” seperti biasa aku bercanda dengan Encik M yang sedang mendekati kami.
    “Sorry cikgu! Sorry! Mata sudah tak ada terang. Cikgu pula pakai songkok Indonesia,” Encik M bagai menyata kesalnya sambil jarinya menunjukkan belangkon di kepalaku.
    Kami meneruskan perbualan sambil menyingkap tabir nostalgia.
    Masih ingat benar di benakku, aku `dilamar’ oleh Naib Pengetua, Haji Elias Md Hanafiah sebagai pensyarah Teknologi Pendidikan dan melapor diri pada 1 Mac 1991.
    Pada 9 Disember 2009 pula aku bersara 56 tahun dengan jawatan akhir sebagai Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan dan pernah juga diberi kepercayaan menjalankan tugas Pengarah.
    Jam menghampiri angka lapan, pensyarah masih belum ramai yang tiba.
    “Mana dia orang ni. Zaman saya dahulu, lepas subuhpun saya sudah tiba di pejabat,” satu lagi tabir nostalgia disingkap.
    “Maktab bukan macam dulu lagi cikgu,” sekali lagi Puan A bersuara, Kali ini membuat penegasan dan pengukuhan.
    Oleh kerana hasrat untuk bertemu bekas kakitanganku tidak kesampaian, aku mohon diri lalu segera menuju ke pejabat untuk bertemu Encik H.
    Di lobi seorang pensyarah perempuan sedang leka `bermanja’ dengan telefon bimbitnya; kemudian segera ke kaunter khidmat pelanggan sewaktu aku sedang bertanya mengenai Encik H kepada Puan Ananti.
    Aku sengaja tidak mahu menegur pensyarah muda yang berada di sebelahku. Aku jangkakan, tentulah dia bertanya khabar tetapi lebih hodoh daripada itu, dia segera pula memintas perbualanku dengan Puan Ananti.
    Segera terbayang di mataku, bagaimana Puan F sewaktu aku bertugas dahulu sering sahaja menegur mesra kerana aku ketika itu salah seorang ahli Majlis Pengurusan Tertinggi institut. Lebih 15 tahun aku berada pada posisi top-anagement.
    Belayar laju juga ingatan minggu lalu sewaktu aku diundang pada majlis perasmian Pameran Solo Pak Wan.
    Ramai pensyarah yang suam-suam kuku sahaja sewaktu berinteraksi denganku.
    Lebih terkilan Datin K yang mengambil alih jawatan lamaku juga tidak serancak dahulu ketika berbicara.
    Benarkah hipotesis Puan A – pensyarah semakin sombong? Kalau tesis ini benar; malanglah pelajar institut. Pensyarah adalah pendidik guru; guru yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa untuk bertamadun.
    Kalau pensyarah gagal membentuk guru yang diharapkan, akan berlakulah lingkaran syaitan yang amat menakutkan.
    Apakah akan jadi pada cucu-cucuku nanti? Aku terasa sesuatu bergenang di kelopak mataku.

Catat Ulasan