Halaman

Khamis, 23 Oktober 2014

Patriot Bangsa

SEWAKTU asyik berbual dengan Adam Tahir, DJ Radio Malaysia Negeri Sembilan di Gerai Cendol Kharim di Kampung Sentosa, kami didekati seorang lelaki berusia sekitar lewat 60-an yang kelihatan gagah dengan beret ungunya.
      Dia melabuhkan punggungnya di kerusi sebelahku sebaik-baik meletakkan kereta sorong yang turut terpacak bendera kebangsaan.
      “Inilah kereta yang saya dapat beli setelah kerja bertahun-tahun,” dia bercanda dengan rakan di meja sebelah kami, diikuti dengan ketawa yang panjang.
      Aku segera mempelawanya untuk turut menikmati cendol yang agak terkenal juga di Seremban itu.
      “Boleh! Biasa sahaja. Jangan campur sos dan belacan.” Dia bercanda denganku pula.
      Sewaktu dia berpaling, Adam sempat menunjukkan jari yang dipusingkan di kepalanya. Seperti biasa, aku tidak segera bersetuju dengan rumusan mudah Adam itu.
      Malah aku kagum dengan lelaki yang kelihatan segak dengan pakaian ala tentera itu walaupun sebahagian pakaiannya sudah lusuh kecuali beret yang kelihatan dipelihara rapi.
      “Dulu sewaktu bekerja dengan kerajaan kita betul-betul berjuang untuk negara. Tak ada nak fikir lain. Nak cari duit lebih waktu dan lepas kerja ke! Nak kaya cepat ke? Nak dapat Datuk ke!” Dia terus ketawa terkekeh-kekeh.
      Tanpa mempedulikan kami, dia terus berjenaka dengan rakan di sebelah meja yang mungkin bukan kenalannya juga lalu kami meneruskan perbincangan.
      Sewaktu hendak beredar, lelaki itu segera bertanya, “Dah bayar ke?”
      Aku mengangguk lalu dia mengucapkan syukur yang panjang.
      “Terima kasih banyaklah,” katanya selamba.
      “Apalah ada dengan duit RM1.50 sedangkan Pakcik mempertaruhkan nyawa bagi membolehkan kami hidup tanpa takut,” jawabku pula.
      Dengan mata yang bersinar yang kemudiannya digenangi air jernih, dia terus ketawa riang tetapi tindakannya itu menyebabkan aku terharu pula.
      “Bahagianya dia!,” cetus hatiku.
      Dan semalam, sewaktu pulang dari rumah rakanku Mohd Zulkafli Maulud di Taman Rasa Sayang, aku terlihat lelaki itu dengan pakaian dan beret yang sama di pondok menunggu bas di Kampung Sentosa.
      Aku melihatnya sedang berkata-kata dengan dirinya dan pada wajahnya terpancar syahdu dan bahagia.
      Gelak panjangnya jelas kedengaran sewaktu melintasinya.
Catat Ulasan