Halaman

Khamis, 14 Februari 2013

Anak-anak Jalan Kedidi 4


“Salam Aidiladha Uncle Zul. Sungguh santai isi kandungan blog uncle. Teruskan berkarya untuk kami generasi muda mempelajari sesuatu. Cerita-cerita ini juga menarik kalau dibukukan – Along, Kedidi 4.”
    Pesanan ringkas yang baharu diterima itu membawa aku kembali ke Jalan Kedidi 4, Taman Paroi Jaya sekitar awal tahun 80-an. Sebagaimana biasa, petang itu Along dan adiknya, Aboi yang masih rapi bedaknya bertandang ke rumah untuk bermain dengan anak sulungku, Haryati.
    Along dan Aboi tinggal di seberang jalan. Ayahnya, Anuar bekerja dengan Tenaga Nasional manakala ibunya, Zainab berkhidmat dengan Telekom Malaysia.
    Walaupun hanya bertugas sebagai pembaca meter, Anuar mengambil perhatian berat mengenai pelajaran anak-anaknya. Sehingga kini aku masih teringat bagaimana Anuar sering menjadikan pekerjaannya dan pekerjaan pengutip sampah kakitangan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sebagai bahan cerita untuk anak-anaknya.
    “Ayah terpaksa berjalan dari rumah ke rumah untuk memeriksa meter. Pekerja MPS itu pula terpaksa bergerak dari rumah ke rumah untuk mengangkut sampah yang busuk tu. Mahukah Along dan Aboi jadi macam ini?,” begitulah biasanya aku mendengar Anuar mengingatkan anak-anaknya yang masih kecil ketika itu.
    Di samping memupuk motivasi anak-anaknya, Anuar turut memberi perhatian berat mengenai akhlak anak-anak. Aboi yang sejak bersekolah sudah dikenali sebagai siak tidak rasmi Masjid Kariah Paroi Jaya meneruskan kecintaan dalam bidang keagamaan dengan memilih kerjaya sebagai Pegawai Agama Polis Di Raja Malaysia.
    Along pula yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Anuar, ayahnya pula sejak bersara meneruskan khidmat  yang ditinggalkkan oleh Aboi sebagai siak tidak rasmi masjid.
          “Alhamdulillah. Walaupun pernah menjalani pembedahan serius, saya berasa ringan sahaja sewaktu melakukan kerja-kerja pembersihan dalam masjid,” ceritanya.
Catat Ulasan