Halaman

Isnin, 18 Februari 2013

Hong Kong 1


Seperti biasa aku terpaksa membereskan pelbagai perkara sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.00 pagi nanti.  Seperti biasa juga `rezeki’ datang pada saat-saat akhir.
    Pada sebelah pagi aku dan krew ke Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memulakan penggambaran untuk video latihan tari piring. Sewaktu sibuk-sibuk di sana aku dimaklumkan isteri ada faks sampai. Pusat Perkembangan Kurikulum menawarkan kepadaku bagi membangun video korporatnya. Tarikh menghantar prototaip cuma dua minggu.
    Sewaktu isteri dan anak-anak menyiapkan makanan dan pakaian untuk bercuti seminggu di Hong Kong, aku masih memerah otak merancang konsep video korporat dan menghubungi tenaga produksiku menyiapkan apa yang perlu sebelum aku balik nanti.
    Seperti yang dijanjikan, Junaidi adik iparku datang ke rumah pada jam 3.00 pagi. Sewaktu tiba di KLIA suasana agak sunyi. Hajat isteri dan anak-anak tidak kesampaian untuk bersarapan di Food Garden kerana ia belum dibuka. Tanpa pilihan kami jengah juga restoran makanan segera yang dibuka 24 jam.
    “Sekali ni Ani tak nak rushing bila bercuti. Just relax,” isteriku beberapa kali berpesan bila aku semacam membantah untuk bertolak lebih awal ke KLIA. Isteri dan anak-anak memang tahu perangaiku. Ada sahaja yang tidak beres menjelang waktu percutian keluarga.
    Jam 6.00 pagi, rakan-rakan dalam kumpulan pelancongan kami diarahkan berkumpul di satu tempat sebelum melakukan daftar masuk. Siti Adibah anak bongsuku yang baru berusia tiga tahun bagaikan tidak sabar lagi untuk menaiki kapal terbang. Entah mengapa, dia akan begitu gembira setiap kali kami membawanya melancong.
    “Big plane,” katanya berulang-ulang. Mungkin kerana usianya yang baru melepasi tiga tahun memungkinkannya dia tertarik dengan kapalterbang.
    Sewaktu diminta turun ke laluan imigresen, Siti Adibah dan kakaknya Siti Atiqah terus bergurauan. Gembira benar mereka apabila mendapati aku tidak seperti selalu – tergesa-gesa untuk check-in kerana sebelum itu terpaksa membereskan banyak perkara.
    Laluan automatik benar-benar menyenangkan penumpang. Pasport hanya perlu disuakan kepada pengimbas dan laluan terbuka sendiri. Siti Haryati lepas, Siti Atiqah lepas, Rohani dan Siti Adibah juga lepas laluan.
    Hanya sewaktu aku menyuakan pasport antarabangsaku, tiba-tiba lampu merah terpasang dan dikuti bunyi Tit! Tit! Tit!
    Aku menyuakannya kembali. Bunyi yang sama kedengaran. Aku mula tertanya-tanya. Seorang pegawai imigresen wanita muda segera menghampiri. Dia menyuakan kembali pasportku. Di layar kecil tertulis beberapa perkataan.
    “Maaf Encik! Encik tidak dibenarkan ke luar negara,” katanya lembut.
    “Mengapa?,” tanyaku kaget.
    “Encik boleh jumpa pegawai atasan saya. Dia sedang sembahyang subuh,” katanya lagi.
    Setelah pegawai atasan imigresen itu mengesahkan aku tidak dibenarkan ke luar negara, aku segera menyerahkan kamkorder, kamera digital dan beberapa helai wang kertas Amerika kepada isteri yang berada di seberang kaunter.
    “Ani pergi dulu. Abang akan naik kapal terbang jam 9.00 nanti,” aku menyejukkan keadaan.
    Anak-anakku dalam kesedihan melambai tangan. “Tak syoklah ayah tak ada,” teriak Atiqah.
Catat Ulasan