Isnin, 18 Februari 2013

Hong Kong 2

Melalui pegawai imigresen itu aku tahu bahawa aku dilarang ke luar negara kerana kes menjamin seorang rakan dahulu.
    Rupa-rupanya aku telah dijatuhkan hukuman bankrap sedangkan aku tidak pernah dimaklumkan secara bertulis oleh pihak yang berkaitan.
    “Encik boleh mendapatkan kebenaran khas daripada ibu pejabat kami di Putrajaya,” pegawai itu memberi nasihat.
    Tanpa berlengah aku segera ke tingkat atas dan berlari ke luar untuk menahan teksi. Sebuah teksi lalu dan segera mengarahkannya ke Putrajaya. RM60.00 lesap.
    Sampai di sana, pejabat belum dibuka lagi. Tepat jam 8.00 pagi, aku menjadi pelanggan pertama meja pertanyaan Unit Keselamatan Khas.
    “Maaf Encik! Encik perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Insolvensi Negeri dulu,” layannya mesra.
    Sekali lagi aku berlari keluar untuk mendapatkan teksi ke Seremban. RM60.00 lagi lesap.
    Setelah bertemu Encik Azman, Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri aku diminta melupakan saja hasratku ke Hong Kong.
    “Lupakan saja hajat ke Hong Kong Tuan Haji,” katanya selamba.
    “Mengikut peraturan, kebenaran khas hanya diberi setelah borang diisi dua minggu sebelum berangkat ke mana-mana. Kelulusan itupun diberikan oleh pejabat kami di Putrajaya,” katanya lagi.
    Aku menarik nafas panjang.
    “Mengikut peraturan yang ada, Tuan Haji sepatutnya menyerahkan pasport kepada kami,” pintanya, masih dalam nada bersahaja.
    Aku segera menyeluk saku jaket. Aku panik seketika. Pasportku tiada.
    Aku segera menelefon pejabat Imigresen di Putrajaya dan meminta kerjasama telefonis menyambung talian kepada pegawai keselamatan di bahagian depan bangunan.
    Melalui kerjasamanya, dia bertanya kepada pemandu teksi yang berkeliaran di hadapan bangunan itu sekiranya menjumpai pasportku.
    Tidak sampai lima minit, aku dimaklumkan pasportku tercicir di tempat duduk depan.
          Aku segera meminta pemandu teksi berkenaan menghantarnya ke Seremban. Dia segera memenuhi permintaan. RM60.00 lagi bertukar tangan.