Khamis, 14 Februari 2013

Pentadbir Nombor Satu


Tidak ada siapa yang tidak kenal dengan tokoh ini di bandar kecil itu. Dia mengetuai agensi kerajaan negeri dan setiausaha persatuan sukan yang dipengerusikan orang nombor satu. Sebenarnya jawatan keduanya itulah yang menyebabkan dia dikenali. Kenyataan akhbarnya yang kadang-kadang kontroversi sering juga dilihat di akhbar.
    Dia memang rapat denganku. Selain perhubungan antara seorang petugas media dengan setiausaha persatuan sukan nombor satu, aku sering membantunya menguruskan pelbagai penerbitan sejak beliau mengetuai satu agensi lain sebelum itu.
    Satu hari, beberapa bulan mengetuai agensi yang lebih besar itu, aku dipanggilnya ke pejabat.
    “Kau tolong uruskan penerbitan buletin agensi ini macam pernah kau buat dulu,” arahnya pendek.
    “Kau boleh jumpa Malik. Kau bincang dengan dia untuk dapatkan bahan,” katanya lagi. Malik yang dimaksudkan ialah pegawai yang baru dilantik di agensi itu selepas beliau bersara dari sebuah jabatan kerajaan persekutuan.
    Keluar dari pejabat beliau, aku terus ke pejabat Malik pula. Aku memang mengenalinya. Kecekapan kerjanyalah memungkinkan beliau dilantik oleh orang nombor satu yang baru ke jawatan itu. Bagaimanapun penerbitan, bukan bidangnya.
    Setelah berbincang dengannya langkah-langkah awal yang perlu dibuat bagi menguruskan penerbitan buletin itu, aku meminta Malik menyiapkan bahan dan foto berkaitan. Aku memberikan tempoh dua minggu untuk menyediakannya.
    Apabila tiba masa yang dijanjikan, aku datang kembali menemui Malik.
    “Ini bahan yang kau minta,” kata Malik sambil membuka sampul surat besar yang hanya memuatkan tujuh keping gambar tanpa sebarang catatan.
    “Eh! Tak kan banyak ni saja. Mana ceritanya?,” tanyaku terkejut.
    “Orang kata kau hebat. Kau dah banyak selesaikan penerbitan orang lain,” jawabnya.
    “Kalau hebat pun geng, takkan dengan tujuh keping gambar saya boleh terbitkan buletin 32 muka,” jawabku pula.
    Memikirkan Malik mungkin tidak ada pengalaman menguruskan penerbitan, aku memberi penerangan ringkas mengenainya.
    Aku juga memberikan tarikh untuk menyerahkan bahan sebelum aku dapat memulakan kerja-kerja suntingan dan reka letak halaman.
    Mungkin dalam kesibukannya terpaksa menguruskan teks ucapan orang nombor satu, Malik masih tidak dapat menyerahkan bahan yang dijanjikan walaupun tempoh yang diberikan telah lama berakhir.
    Berikutan insiden itu, aku sering sahaja diperli oleh pentadbir nombor satu apabila bertemu. Kadang-kadang dia memperliku di depan orang ramai.
    “Harap tie saja melintang. Buletin aku tak siap-siap juga,” katanya selamba yang mungkin lebih bersifat mengusik tetapi ia tetap menyentuh hati kecilku.
    Walaupun kata-katanya itu boleh aku sifatkan mencabar kewibawaanku, aku tidak pernah mahu mengatakan perkara sebenar di depan orang ramai. Sebagai kawan, aku tak mahu memalukannya.
    Sehinggalah Malik ditukarkan berkhidmat di luar negara, penerbitan buletin itu masih tidak menjadi kenyataan. Pentadbir nombor satu pula kini dinaikkan pangkat sebagai pentadbir nombor satu peringkat negeri.

Tiada ulasan: