Halaman

Khamis, 14 Februari 2013

BPR5


Sekarang sudah lebih enam bulan. Aku masih tidak tahu kedudukan sebenar pertuduhan yang dikenakan kepadaku. Terus-terang dikatakan, aku cukup bosan menghadapi suasana ini.
    Semua staf maktab telah tahu cerita ini. Malah beberapa rakan di maktab lain telah mendengar cerita yang sama. Haji Zul telah songlap duit buku bernilai RM72,000.
    ”Patutlah dia mampu pakai dua Mercedes, satu Honda Jazz dan sebuah lagi kereta Kembara.” Begitulah antara kata-kata yang kudengar ketika beberapa kawan mengumpat.
    Mereka tidak tahu cerita sebenar di sebalik kemampuanku memiliki empat kereta. Mercedes 190E itu aku bawa balik dari Manchester. Harga kereta itu cuma £3,000 yang dibeli tunai daripada isteri Azim yang tidak mampu membawanya pulang dulu.
    Aku mampu beli tunai kerana harganya cuma RM29,000 termasuk cukai, hasil jualan kereta Honda Prelude sebelum ke England dulu.
    Mercedes C200 berwarna biru tua itu milik isteriku, yang dibeli daripada wang simpanannya.
    Kereta Perodua Kembara pula aku beli melalui pinjaman kerajaan – sengaja dibeli untuk mendapat pengalaman bagaimana berhutang dengan kerajaan. Honda Jazz pula dibeli untuk kegunaan anak sulung kami, Siti Haryati.
    Oleh kerana bosan menunggu kedudukan kes sebenar, aku sering sahaja menelefon Puan Salwa, ketua pegawai penyiasat.
    ”Puan. Fahamilah keadaan saya. Semua orang di maktab sudah tahu, saya rasuah. Bila BPR datang, maknanya saya rasuah. Mereka tidak tahun keadaan sebenar.
    ”Dato’ Johari Baharom seorang Timbalan Menteri. Surat khabar boleh siarkan berita bila dia komplen kesnya tidak ada asas. Bagi orang macam saya... orang kecil ... mana surat khabar nak pakai cerita saya walaupun saya berkhidmat lebih 15 tahun secara sambilan dengan Berita Harian,” kataku minta difahami.
    ”Itulah tidak adilnya. Bila ada aduan, kes masuk surat khabar. Bila tidak ada bukti, cerita hilang begitu saja. Terus-terusanlah saya dituduh rasuah sehingga mati,” kataku memberikan lojik mudah.
    Hanyalah lebih setahun kemudian, aku mendapat maklum kes itu tidak dipanjangkan untuk pendakwaan kerana tidak ada bukti. Itupun aku sendiri yang sering menelefon; bukannya makluman bertulis daripada BPR.
Catat Ulasan