Halaman

Khamis, 14 Februari 2013

BPR4


Aku dibawa ke sebuah bilik yang sederhana besarnya. Sedia menanti seorang pegawai penyiasat muda yang berbekalkan sebuah komputer bimbit di atas meja.
    ”Azman,” katanya memperkenalkan diri.
    Aku menyambut salamnya sambil dapat mengesan beberapa peralatan rakaman moden di dindingnya.
    ”Saya dari pejabat BPR di Melaka. Pegawai penyiasat Negeri Sembilan tidak boleh mengendalikan kes ini kerana adik Tuan Haji, Halimaton Saadiah adalah PA Pengarah di sini. Bias nanti,” katanya memulakan perbualan.
    Aku mengangguk.
    ”Saya akan merekodkan pernyataan dalam komputer ini.” Matanya mengarah kepada komputer di atas meja.
    Sejak jam 10.30 pagi itu aku diajukan soalan demi soalan. Aku terus menjawab tenang. Tidak ada satupun yang aku sorokkan.
    Sesi itu bagaimanapun terpaksa dihentikan kerana tiba waktunya untuk bersembahyang Jumaat. ”Pukul 2.45 nanti, datang lagi,” pintanya.
    Sehinggalah sesi disambung di sebelah petang, aku dapat melihat Azman terkial-kial mengendalikan komputer bimbitnya. Sebagai pemegang sarjana dalam bidang Komputer Dalam Pendidikan, aku dapat merasakan betapa Azman seorang novis.
    ”Alah! Hilang lagi,” Azman merungut apabila fail beberapa pernyataanku tidak dapat dipanggil kembali. Aku segera memberi arahan bagaimana cara mengatasinya.
    Insiden itu berlaku berulang kali. Azman juga kulihat terkial-kial sewaktu menaip. Di wajahnya terlihat rasa tidak senang.
    ”Sebenarnya Tuan Haji cuma suspek kami. Pertuduhan tidak boleh dibuat selagi kami tidak mendapat bahan bukti,” katanya seolah-olah ingin menutup rasa kesalnya.
    Aku relaks saja.
    Sesi petang itu hanya berakhir hampir waktu maghrib. Tempoh lebih empat jam bukannya dipenuhi untuk mengambil pernyataanku tetapi lebih berupa kuliah pertama bagaimana mengendalikan Microsoft Word.
Catat Ulasan