Sedang
duduk untuk melepaskan lelah seketika selepas menebas kawasan belakang rumah,
sebuah kereta Kembara berwarna metalik berhenti dan pemandunya segera bertanya,
“Tuan Haji tinggal di Pinggiran Golf,
kan?”
Setelah menerima anggukan, dia
memperkenalkan diri sebagai Sazali dan memaklumkan beliau juga tinggal dalam
taman perumahan yang sama.
Sazali memberitahu sudah lama benar beliau
ingin membeli benih pelbagai jenis buah-buahan yang berada di tapak semaian itu
tetapi tiada siapa yang dilihat menjaganya.
“Mulai minggu ini saya dan Haji Leman akan
berada di sini,” kataku merujuk kepada kawasan rumah mentua yang kini dijadikan
tapak semaian.
Setelah berbual seketika, Sazali
memaklumkan hajatnya untuk membeli dua batang anak petai yang sudah setinggi
satu meter itu.
“Kata Haji Leman, harganya RM40.00 sepokok.
Betul ke?,” katanya merujuk rakanku yang mengusahakan tapak semaian itu yang
dihubungi melalui telefon sebelum itu.
“Betullah tu.”
Sazali segera memilih dua daripada deretan
anak petai yang hidup subur itu.
Setelah memintanya memusingkan kereta, aku
segera mengangkat anak pokok berkenaan satu persatu dan wang RM80.00 bertukar
tangan.
Pokok yang ditanam dalam polybag berwarna hitam itu memang berat
tapi aku dayakan juga.
Entah kekuatan mana yang diberikan Allah,
sejak sehari sebelum Ramadhan aku mampu menebas, menarah dan menebang –
membersihkan kawasan rumah peninggalan mentua yang betul-betul terletak di
pintu masuk Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu itu.
Sebenarnya idea supaya aku kembali menjadi
orang kampung, idea Leman.
Tanpa menjanjikan apa-apa pulangan
kewangan, Leman penuh yakin memberitahu,” Abang tengoklah nanti. Abang akan
sihat seperti dahulu. Hidup abang akan lebih tenang.”
Sehingga 16 Ramadhan selepas menguruskan
abah di bilik mandi dan tempat rehatnya di Kampung Pelegong, aku akan berada di
sini sehingga kira-kira jam 1.00 tengah hari.
Sewaktu sendirian aku sudah mampu kembali
bernyanyi kecil, tersenyum dan berimaginasi. Setiap petang bersama Siti Adibah
ke Bazar Ramadan manakala pada sebelah malam, boleh bersunat Tarawih dalam
keadaan ringan badan.
Ketika menyerahkan RM80.00 hasil jualan
anak pokok kepada Leman, dia memulangkan kembali tiga keping not merah itu
dengan menyorongkannya ke kocek jeansku.
Aku menolak tapi Leman terus
menyorongkannya.
“Saya tahu RM30.00 ini kecil bagi abang,” kata
Leman dalam senyuman.
Entah kenapa tanpa disedari dadaku terasa sebak
dan kelopak mataku lembab.
Untuk mengelakkan Leman tahu apa yang
berlaku, aku segera berpaling dan beredar untuk meneruskan kerja.
“Apa makna semuanya ini Ya Allah? Mengapa
RM30.00 ini aku rasa cukup berharga berbanding RM3,000 atau RM30,000 yang aku
perolehi sebelum ini Ya Allah?”
Aku tidak dapat membendung lagi air jernih
itu untuk turun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan