Halaman

Isnin, 29 Julai 2013

Penyakit Tidak Bernama



Secara tepat aku tidak ingat bila penyakit tidak bernama itu bertandang kembali buat kesekian kalinya dalam perjalanan hidup menjelang dekad keenam ini.
     Kalaulah tempoh beberapa bulan selepas persaraan aku dijenguk penyakit yang sama dan aku anggap itulah siri yang paling teruk tetapi berjaya aku hadapinya tapi kali ini ia lebih parah lagi.
     Aku benar-benar tersungkur.
     Bayangkan seorang lelaki yang sering dilihat ceria di waktu kerjanya, lebar padang kenalannya, sering disebut-sebut ketinggian tutur-katanya telah menjadi mayat hidup yang berjalan tanpa arah tuju.
     Lebih memalukan lelaki yang sering diundang untuk berpencak di pentas-pentas kursus motivasi ini telah meranapkan kredibilitinya apabila dia tidak menjadi seperti apa yang dicakapkannya lagi.
     Apabila ini terjadi, perkara yang paling digemari akan dibencinya. Dia akan benci komputernya. Dia akan benci rumah dan persekitarannya. Dan paling pasti, dia tidak boleh mengarang lagi.
     “Saka kau teruk. Tengok muka kau. Muka kau sudah tidak ada seri lagi. Orang nak bagi kau mati ni,” begitu kata Nasir, kenalan lama yang aku temui secara kebetulan sewaktu hendak membeli makanan.
     “Duduk sini,” pintanya sambil dia meminta pembantunya memberikannya tasbih dan minyak atar.
     Disapunya minyak atar itu kepada mukanya dan mukaku lalu mulutnya berkumat-kamit.
     “Sejak bila kau jadi bomoh ni?,” sempat aku bertanya kehairanan.
     Dia diam. “Insya-Allah kau akan pulih nanti.”
     Sudah berbulan-bulan pertemuan itu berlaku dan aku masih begini – semakin tidak menentu. Aku terus bermusabah dan mencabar diri,” Hei Zul! Kau sudah tua. Dah nak masuk 60 tahun. Takkan inipun kau tidak boleh hadapi!”
     “Cikgu. Jangan mengurung diri. Bawa-bawalah keluar dan berjumpa dengan kami,” sesekali Zamri, rakan bisnes hartanahku cuba mengingatkan.
     Sewaktu mengadu dengan Ustaz Mohd Ayub Yassin pula, dia meminta aku membaca hadis terjemahan Al-Quran dalam bahasa Melayu mudah, tulisannya.
     Akhirnya aku `ke sekolah kembali’ dengan membuka kitab dan membeli buku seumpama  `Rahmat Di Sebalik Musibah’, `Tuhan Sedang Menguji Kita’ dan pelbagai blog berkaitan perkara ini aku terokai.
     Pada malam menjelang 1 Ramadhan, tersimpul mudah konklusi hasil pembacaan dan pandangan rakan. Aku perlu melakukannya; bukan sekadar mengetahuinya.
     “Pertamanya taubat. Taubat nasoha. Jangan ulangi lagi perkara yang ditegah dan dilarang.
     “Patuhi segala perintah-Nya. Jangan melewat-lewatkan solat. Berjemaahlah!”
     “Bacalah Al-Quran dan fahaminyalah.”
     “Musibah diberi kepada orang yang mampu menghadapinya.”
     “Eh! Tidaklah sesukar mana!”
     Alhamdulillah. Aku telah menemui diriku kembali.
Catat Ulasan