Isnin, 22 Julai 2013

Terima Kasih dan Berilah Respons!

Sejak blog ini dibuka pada 31 Mei 2011 aku dapat mengesan beberapa pembaca setia yang terus mengikuti blog ini melalui data paparan Live Traffic Fit Feedjit.
     Selain pembaca tempatan, blog ini juga diikuti oleh pembaca dari Los Angeles, London, Sydney, Amsterdam, Beijing, Taiwan, Jakarta malah Kartekana yang pada awalnya aku sendiri tidak tahu di mana letaknya. Salam penghargaan dihulurkan atas kesudian kalian.
     Bagi pembaca tempatan agak sukar aku mengesan sama ada blog ini diikuti oleh orang yang sama (pengunjung berulang) tapi tidak sukar mengesannya bagi pembaca dari luar negara.
     Dalam ramai-ramai pembaca dari luar negara itu aku dapat mengesan dua pembaca setia; seorang dari Jakarta dan seorang lagi dari Mountain View, California.
     Sekadar mengagak, aku kenal secara peribadi kedua-dua pembaca ini. Pembaca dari Jakarta mungkin rakanku yang masih berkhidmat dengan agensi berita kebangsaan atau isterinya yang sering berulang-alik ke sana dan pembaca di Mountain View itu adalah bekas rakan setugasku di IPG Kampus Raja Melewar yang kini telah bermastautin di sana.
     Kalau agakan aku ini silap, aku ingin sangat kedua-dua pembaca setia ini dapat memberi respons terhadap cerita-cerita yang dipaparkan.
     Seperti yang dinyatakan pada blog, aku kepingin sangat mendapat maklum balas secara jujur – tidak kisahlah ianya berupa cadangan atau kritikan. Memang kisah-kisah yang dipaparkan dalam blog ini merupakan kisah benar yang aku alami sendiri. Cerita yang dikongsi tidak sekali-kali berhasrat untuk menghina atau memperkecilkan sesiapa; cuma diharap dapat menjadi buah fikir. Bukankah perkongsian pengalaman dapat meminimumkan kesilapan?
     Secara sedar aku juga tahu tidak semua orang suka dengan peganganku ini. “Cerita-cerita you turut menyentuh kisah orang yang masih hidup. Sebahagian daripada mereka adalah orang ternama. Dia orang boleh saman tahu!,” seorang rakan pernah memberitahu.
     “Blog you berselera besar. Saya tidak mahu turut bersubahat,” begitu pula komen seorang sahabat penulis melalui e-melnya.
     Melalui maklumbalas begini aku juga dapat terus belajar. Jadi, dipohon sangat pembaca blog ini memberi maklumbalas melalui ruang komen di bawah setiap cerita yang dipaparkan. Ucapan jutaan terima kasih didahulukan.
     Pastinya juga diharapkan pembaca juga berkongsi cerita mereka di sini. Ini juga antara matlamat kewujudan blog ini. Mari kita berkongsi cerita – ceritaapaapasaja.

Tiada ulasan: