Halaman

Khamis, 25 Julai 2013

Berumahkan Tandas


Bersama Latif di hadapan pintu rumah (stor sekolah)
Bersama murid di hadapan pintu rumah pegawai Felda

Selepas melapor diri dengan Cikgu Fadil Rahim, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Maran, Pahang pada 7 Januari 1974 aku dan anak Jawa dari Selangor, Baijuri Mus telah disediakan rumah sewa – rumah peneroka yang belum diisi.
     Dengan hanya berbekalkan sebiji beg kotak setiap seorang kami memulakan hidup baharu sebagai guru terlatih di petempatan Felda yang baharu dibuka kira-kira setahun.
     Tidak lama kami di rumah itu – cuma kira-kira setahun. Selepas itu kami diminta mengosongkannya kerana ada peneroka baharu yang hendak masuk.
     Tidak seperti di kampung atau di bandar, rumah sewa boleh dicari. Di petempatan Felda, rumah hanya dibina untuk pegawai dan peneroka. Guru 10 orang, kuarters guru cuma ada dua unit – satu untuk Guru Besar dan satu lagi untuk Guru Penolong Kanan, Cikgu Nordin Mohamad.  Jadi yang lain hendak tinggal di mana?
     Pekan paling dekat Maran. Dekat-dekatpun kira-kira 32 Kilometer manakala kampung terdekat, Kampung Kuala Sentul . Paling cepat untuk  sampai ke Kuala Sentul pula perlu melalui jalan pintas dengan meredah denai hutan.
     Kebetulan ada sebuah rumah pegawai yang kosong. Jadi aku, Baijuri dan turut diikuti Mohd Latif Muda bermukim di situ.
     Tidak sampai setahun, Felda memerlukan kuarters itu untuk staf baharunya. Tanpa ada pilihan lain, kami bertiga dan kemudiannya diikuti empat guru yang baharu datang termasuk Cikgu Malik Mohamad (Setiausaha Agung Partai Sosialis Rakyat Malaya Pahang) terpaksa tinggal di stor sekolah yang berukuran 10 X 40 kaki.
     Di stor itulah kami tujuh orang tinggal dan menjadikan tandas di sebelahnya sebagai dapur. Tandas? Ia tandas. Kami tidak ada tempat lain untuk meletakkan dapur untuk menjerang air. Untuk ke kedai, agak jauh.
     Di situlah aku yang ketika itu sudah bergelar Guru Penolong Kanan tinggal sehingga berpindah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin pada tahun 1979.
     Pakaian pula terpaksa dibasuh pada hujung minggu sahaja kerana tidak sanggup membiarkan murid-murid kami melihat apa yang tergantung di penyidai kain yang bertiangkan tiang bendera sekolah.
     Walaupun sudah mula menulis untuk akhbar ketika itu, hatiku sedikitpun tidak terbuka untuk memaparkannya di media.
            Jadi, isu murid menggunakan bilik persalinan yang bagiku kelihatan bersih sebagai kantin sekolah tidak sedikitpun menyentuh sensitivitiku. Sebagai bekas stringer, ia juga tidak menarik hatiku untuk dijadikan bahan berita sehingga memungkinkan Menteri Pendidikan mengeluarkan amaran untuk mengenakan tindakan kepada Guru Besarnya. Isu nasionalkah itu?
Catat Ulasan