"Haji,
saya pernah mencabar Tuhan. Haji tahu apa jadi? Tidak sampai sehari permintaan
saya ditunaikan,” begitu kata Naza sewaktu aku dipanggil ke studionya pada
suatu pagi.
“Haji percayalah cakap saya. Kalau ada
masalah, mengadu sahaja kepada Dia. Dia Maha Besar. Dia Maha Penyayang,”
bersungguh-sungguh benar Naza yang
selama ini aku kenali sebagai manusia yang jarang bercakap mengenai ketuhanan
dan mengamalkan suruhan wajib harian bercakap mengenai mukjizat Allah.
Selain menguruskan syarikat pengurusan
acara, membekal perkhidmatan sistem audio-video dan pencahayaan, aku memang
sering dipanggilnya untuk kerja-kerja produksi program televisyen dan
persembahan multimedia.
Naza memang pemurah. Tanpa diminta, setiap
kerja yang aku buat diberikan upah yang agak lumayan.
Hanya pagi itu baharu aku tahu Naza juga
telah menurut jejakku – menjadi Si Bankrap.
“Sama macam Haji. Saya jamin kawan.”
“Berapa jumlahnya?”
“RM75,000.00”
“Wau!,”
aku tersentak.
Walaupun Naza selalunya mengambil mudah
sesuatu perkara, tapi gelaran Si Bankrap itu tidak digemarinya kerana ia boleh
menganggu bisnesnya. Dia bukan bisnes peringkat kampung dan negeri lagi tapi
peringkat kebangsaan. Dia pembekal sistem audio-video dan pencahayaan untuk Malam Ambang Merdeka,
Citrawarna, Le Tour de Langkawi dan beberapa projek besar lagi sejak beberapa
tahun lalu.
“Jadi apa kau buat?,” aku bertanya kembali.
“Macam saya kata tadilah. Saya cabar Tuhan.”
“Macam cerita Hindustan sahaja,” usikku.
“Hari ini saya cabar Dia, besoknya saya
menerima panggilan daripada seorang pegawai kanan di Putrajaya,” Naza terus
bercerita.
“Apa yang dia minta?”
“Dia minta tolong uruskan persembahan bunga
api macam biasa. Tapi katanya bajetnya kecil kali ini.”
“Jadi kau tak buatlah?”
“Bukan Haji tak tahu. Jarang saya
menghampakan orang. Apatah lagi beberapa kali dia merayu dan meminta tolong.
“Selalunya projek macam itu cukup dengan
belanja sekitar RM70,000 hingga RM80,000.”
“Jadi berapa dia bayar?”
“Dia benar-benar merayu, bajetnya kali ini cuma
RM140,000.”
“Jadi, kau untung besarlah?,” ketawaku
pecah.
“Ini bukan cerita untung rugi Ji. Ini
cerita pertolongan Allah. Mungkin Allah
buka hati pegawai itu untuk memberi projek itu kepada saya.
“Syukur! Saya bersyukur Ji. RM75,000 tu
saya bayar kepada Jabatan Insolvensi. Saya bebas seperti biasa sekarang Ji.”
“Percayalah cakap saya Ji! Allah sahaja
yang boleh menyelesaikan masalah kita. Jangan mengadu kepada yang lain.
Betul kata Al-Quran. Al-Quran itu ada
segala-galanya,” Naza terus ghairah bercakap mengenai kebesaran Al-Quran kerana
beliau kini kadang-kadang sanggup tidak tidur untuk memahami Al-Quran.
“Saya panggil Haji datang ini pun, nak
minta tolong uruskan penerbitan Kitab Memahami Al-Quran yang sedang saya
kerjakan sekarang. Orang akan dapat menghayati kandungan Al-Quran sekiranya
bahasanya mudah,” katanya.
Entah kenapa tiba-tiba aku merasa sayu dan
hiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan