Halaman

Isnin, 29 Julai 2013

Siapakah Si Penghantar Beras dan Gula Itu?



Profesor Dato' Dr. Murad Ahmad (kanan)

“Ayah! Saya tumpang cikgu balik,” budak perempuan yang aku anggarkan berusia sembilan tahun itu mencium tangan Dato’ Murad Ahmad yang duduk bersebelahanku.
     Wajahnya yang menggambarkan anak kacukan India-Melayu itu begitu kudus kulihat.
     “Ayah, saya juga balik sama,” seorang lagi gadis kecil menghulurkan tangan sambil tersenyum manja.
     “Ayah?’” tanyaku kepada Dato’ Murad, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan KGV pada malam meraikan anak-anak yatim itu, kelmarin.
     “Untuk pengetahuan you, kesemua anak-anak yatim yang saya pelihara memanggil saya ayah,” kata tokoh korporat tempatan yang sudah lebih 10 tahun diberi kepercayaan mengemudikan PIBG sekolah tempat anak aku belajar itu.
     “Berapa orang yang you pelihara sekarang?”
     “Lebih 200 orang.”
     “200?,” aku kehairanan.
     Walaupun aku tahu Dato’ Murad memelihara anak yatim melalui Yayasan Murad yang ditubuhkan sejak 1988 itu, tapi aku tidak pernah menjangka jumlahnya sebesar itu.
     Sebelum menganggotai Jawatankuasa PIBG sekolah kira-kira tiga tahun lalu, serba sedikit aku tahu juga latar belakang Dato’ Murad yang tinggal bersebelahan sekolah ini.
     Dulu, dia memang tokoh perniagaan Melayu yang disegani. Punya kilang kayu dan beberapa perniagaan lain dan pernah diberi kepercayaan mengemudikan Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan.
     Bagaimanapun selepas itu terdengar juga khabar berita, perniagaannya menghadapi masalah tetapi beberapa tahun kemudian mampu pula menubuhkan East-West College. Kolej ini pula diserahkan kepada rakanku, Mokhtar Alias, mantan Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan wartawan Berita Harian yang kukenali agak lama itu menguruskannya.
     “Bilalah lagi saya mampu buat macam Dato’?,” celah Cikgu Tamyis, Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan KGV yang duduk minum bersama selepas solat tarawih itu.
     “Bayangkanlah! Lebih 200 anak yatim mendoakan Dato’ Murad setiap hari,” katanya.
     “Banyak you belanja untuk beri makan-minum dan menyekolahkan budak-budak itu?,” bagaikan tiba-tiba perasaan ingin tahuku terpancut.
     You percaya tak? Selain menyediakan tempat penginapan, sudah lama saya tidak mengeluarkan duit untuk membeli keperluan makan-minum mereka,” katanya dalam senyum.
     “Kalau Dato’ tidak beli, siapa pula yang sediakan?,” perasaan ingin tahuku semakin membuak.
     “Tak tahulah. Saya tidak pernah nampak sesiapapun yang menghantarkannya. Bila saya ke asrama mereka, saya lihat ada sahaja beras, gula, biskut dan pelbagai lagi. Berguni-guni pula tu,” katanya selamba.
     Aku semakin kehairanan.
Catat Ulasan