Halaman

Rabu, 31 Julai 2013

Tawaran Berkarya


Petang tadi Editor Perunding sebuah syarikat penerbitan antarabangsa yang berpangkalan di Singapura sekali lagi menelefonku untuk mendapatkan persetujuan menerbitkan cerita-cerita dalam blog ini untuk pasaran dunia.
     Dalam perbualan telefon lebih setengah jam itu, Jade Bailey beria-ia benar mahukan aku segera menyediakan manuskrip akhir agar buku ini  dapat diterbitkan untuk pasaran hujung tahun.
     Sebetulnya, Jade beberapa kali menghubungi aku melalui e-mel sebelum ini tapi aku abaikan sahaja kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
     Setelah memahami konsep pemasarannya, aku menyatakan persetujuan tetapi memohon untuk diberi tempoh sebulan untuk kerja-kerja terjemahan ke bahasa Inggeris.
     Persetujuan melalui e-mel itu segera dijawabnya:
     Thank you so much for taking my call earlier. I would really want you to publish your book because we are targeting your book to be out in 3-4 months which is November-December which is a book-buying season.            
    Again, once we publish your book, we will register your book for a worldwide distribution. Your book will be available to our thousands of partnered bookstores and online resellers like Amazon.com, Barnes and Noble and Borders.com. 
     Kalau sekadar satu judul yang memuatkan 101 cerita seperti perancangan awal blog ini, ia tidak jadi masalah kerana cerita yang ada melebihi jumlah itu.
     Bagaimanapun pembangunan kandungan ceritaapaapasaja dirancang lebih besar daripada itu. Ia diharap menjadi penerus tradisi bercerita yang telah lama berbudaya dalam masyarakat Malaysia.
     Oleh kerana itulah pelbagai kategori disediakan bagi membolehkan pembaca memahami cara berfikir dan bertindak rakyat Malaysia.
     Sebagai contoh, kategori Sewaktu Kecilku dimasukkan bagi membolehkan pembaca memahami budaya Malaysia dalam pelbagai zaman.
     Cara bertindak seorang budak tahun 60-an yang berlatarbelakang kampung tentu berbeza dengan anak-anak abad ke-21.
     Begitu juga bagi kategori Apabila Jatuh Cinta, misalnya. Pastinya zaman bercinta tahun 50-an berlainan sekali dengan cinta zaman kini.
     Bagi memperkayakan pengalaman, kategori Di Luar Negara diwujudkan bagai membolehkan penulis berkongsi pengalaman yang mungkin tidak pernah dialami sebahagian besar pembaca. (Untuk mendapatkan gambaran bentuk cerita yang diperlukan, lihat penerangan ringkas setiap kategori dalam blog ini).
     Kalau buku ini hendak dijadikan bersiri seperti Chicken Soup For The Soul, dari mana datangnya ribuan cerita yang diperlukan? Dari awal telah diberitahu, pembaca blog inilah yang diharapkan menghasilkan ceritanya.  Mengapa anekdot dipilih sebagai genrenya? Ia pendek, mudah, bersahaja dan ada isi cerita yang boleh mencetus idea baharu, menyelesai masalah dan membuat keputusan. Bukankah perkongsian pengalaman boleh memperkaya peribadi?
     Bagi yang sudah lama berhasrat untuk menjadi penulis kreatif, anekdot boleh dijadikan pemula. Anekdot boleh menjadi medan latihan untuk menghasilkan cerpen dan seterusnya novel.
     Tidakkah anekdot boleh menjadi penerus tradisi bercerita yang bermula dengan tradisi lisan yang kemudiannya dikembangkan oleh Pawang Ana dan Mir Hasan?
     Wadah untuk berkongsi cerita telah disediakan. Karya anda memang diperlukan!
     Apa pula bentuk pulangan kepada penulis? Sudah tentu ia mematuhi sistem penerbitan yang diamalkan dunia – penulis mendapat royalti. Karya anda dinanti!
Catat Ulasan