Dari kiri: Ali, jurufoto sambar jadi, Pak Udin dan Shariff sementara menunggu keputusan. |
"Ayuh! Ayuh! Bersatulah! Bersatulah dengan tali Allah." (lihat selipar kayu Pak Udin) |
SEWAKTU
Shariff Ahmad memanjangkan mesej Pak Udin bahawa dia layak ke pusingan akhir
Pertandingan Akhir Karaoke Karnival Ampangan sempena lawatan Timbalan Perdana
Menteri, aku tersentak seketika.
“Pak Udin berkaraoke?,” aku mula sangsi
dengan pesanan ringkas itu. Apa yang aku ketahui, Pak Udin (pekerja binaan
Indonesia) yang sedang menguruskan kerja-kerja ubahsuai rumah Shariff warak
orangnya.
“Takkan Pak Udin berkaraoke?,” getus
hatiku. Bagaimanapun kekeliruan segera terjawab apabila aku bertemu Shariff,
beberapa jam selepas itu.
Jadi, sebagai tanda sokongan, Shariff
meminta aku dan Mohd Ali Hasbullah (Ali Petronas) datang ke tapak karnival berhampiran
pejabat Tabung Haji di Ampangan pada sebelah malamnya.
Sah! Pak Udin sudah bersedia dengan baju hitam
ala Ringo Star dari kumpulan The Beatles tapi cuma berselipar.
Pak Udin segera mengajak aku dan Ali pekena
teh tarik dahulu sementara menunggu acara bermula.
Sedang berbual-bual aku baharu teringat, “mengapa
tidak dirakamkan peristiwa bersejarah itu dalam bentuk foto dan video.”
Oleh kerana keretaku dibawa pulang oleh
isteri yang turut berkunjung ke karnival itu selepas maghrib, Pak Udin
mengusulkan aku membawa kereta Perodua Kancilnya. Memandangkan masa yang
suntuk, aku memecut laju keretanya untuk mengambil kamera di rumah.
Sebaik-baik sampai kembali ke tapak karnival,
peserta kedua sedang membuat persembahan sedangkan Pak Udin adalah peserta
keempat. Dengan tangkas aku mengaktifkan kamera video dan meminta salah seorang
pekerja kontraknya mengambil gambar foto.
Nah! Ternyata Pak Udin bergaya di pentas
apatah lagi dia memilih lagu berirama dangdut.
Riuh seketika tapak karnival apabila
pengacara mengumumkan peserta keempat iaitu Ahmad Salleh (baharulah aku ketahui
nama sebenarnya) akan membawakan lagu yang dipopularkan oleh Rhoma Irama, Bersatulah.
Siap dengan mukadimah ayat Al-Quran,
`Bersatulah Dengan Tali Allah. Bersatulah Dalam Konsep Satu Malaysia’, Pak Udin
menyampaikan patah-patah lagu penuh bertenaga.
Cuma hampir sampai ke korus, Pak Udin terlupa
lirik. Dia terlalu yakin tanpa melihat skrin LCD.
Bagaimanapun sewaktu duduk-duduk minum
kembali bersama-sama kami, sementara menunggu keputusan, Pak Udin sempat
membuat ramalan. “Budak yang membawa lagu Nike Ardila itu ada harapan menang,”
katanya.
Nah! Betul! Budak perempuan berusia sekitar
13 tahun itu menang tempat kedua manakala Pak Udin orang pertama dipanggil
untuk menerima hadiah saguhati
(maknanya, dia mendapat kedudukan terakhir).
Sewaktu duduk kembali di meja selepas
menerima hadiah, kami bersalaman dengan Pak Udin, tanda ucap tahniah. Hampir 10
pekerjanya (Pak Udin kini adalah kontraktor) tetap ceria seperti biasa.
Ali sempat berbisik kepadaku, “Pak Udin
mungkin menang sekiranya berpakaian lebih kemas dan berkasut.”
Aku menyanggah pendapatnya. “Dia kalah
bukan kerana terlupa sedikit lirik dan cara penampilannya tapi kerana jurinya rockers.”
Pak Udin kelihatan tersenyum, mungkin
terdengar perbualan kami. Wajahnya tetap berseri, pancaran seorang yang warak.
Aku tahu, dia puas. Kalah bukan persoalan. Kepuasannya
terletak kepada tanggungjawabnya sebagai Muslim sejati. Dakwah perlu
disampaikan, tidak kisahlah di masjid atau di tapak karnival.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan