Oleh
kerana tidur awal malam tadi, pada kira-kira jam 3.00 pagi aku sudah terbangun
dalam keadaan tubuh yang segar. Setelah menunaikan fardhu yang perlu
diselesaikan, aku terpaksa mencari isi perut lalu Restoran Syed Maju dituju.
Ketika meneguk teh tarik halia, budak yang
menjaga kaunter terus bersuara, “kawan abang ada di sana.”
Kawan yang dimaksudkan ialah Zafar, guru
dari Rawalpindi yang pernah diceritakan sebelum ini. Aku segera menuju mejanya
yang terletak jauh di sudut restoran dan suram pula.
Sebaik-baik aku tiba, Zafar menghentikan
perbualan telefonnya.
“Tidak apa. Teruskan bercakap,” kataku.
“Sudah cakap panjang,” kata Zafar dalam
wajah muram; tidak seperti biasanya.
“Cakap dengan siapa?,” tanyaku bersahaja.
“Rubi.”
“Girlfriend?”
“Ya. Bang.”
“Nama orang Pakistanpun sudah macam nama
orang putih?.”
“Nama penuhnya Rubina. Saya panggil Rubi
sahaja,” jawab Zafar, masih dalam suasana muram.
“Dia kerja apa?,”
“Cikgu bang tapi dia ada MSc.”
“Berapa umurnya.”
“27.”
“Berapa umur Zafar sekarang?.”
“33. Sudah tua bang.”
Melalui perbualan itu, Zafar tidak
menyembunyikan apa-apa lagi kepadaku. Persahabatan yang terjalin sejak beberapa
bulan ini meningkatkan rasa persaudaraan Islam yang tidak mengenal benua itu.
Zafar terus mengaku bahawa namaku juga
sering disebut dalam perbualan dengan Rubina.
“Saya selalu cerita, abang sedia menolong
saya. Saya kata, abang kawan yang saya temui dalam masjid,” ceritanya
terus-terang.
“Kadang-kadang saya pesimis bang,”
tiba-tiba Zafar bersuara bagai tidak dapat menyembunyikan lagi gelisahnya.
“Saya datang ke Malaysia dengan satu hasrat
– hijrah untuk mengubah kehidupan. Bukan saya tidak bersyukur dengan gaji RM45
sehari di sini tapi sampai bila saya boleh begini?
“Kalau saya kerja bermati-matianpun, inilah
gaji saya. Saya buat restoran ini macam restoran saya. Saya tidak mahu cerita
panjang tapi saya telah selamatkan antara RM300 hingga RM500 sehari.”
“Apa maksud Zafar?,”aku mula kehairanan.
“Bukankah dahulu saya sudah cerita.
Sebahagian pelanggan terutama budak-budak muda selalu tidak bayar apa yang
sudah dimakan.”
“Tapi… tidak pula saya jangka angkanya
begitu besar.”
“Itulah keadaan sebenarnya.”
Berbalik kepada cerita Rubina, Zafar
ternyata rindukannya. Janji telah dipadu bahawa Rubina akan dibawa ke Malaysia.
“Saya telah membina tapaknya. Insya-Allah,
saya akan memulakannya tidak lama lagi.”
Melalui perbualan sebelum ini, serba
sedikit aku tahu halatuju Zafar dan aku tahu juga Zafar memerlukan kerjasama
aku.
Zafar sudah lama menyatakan hasrat untuk
berniaga di kawasan sekitar Jalan Masjid India dan barangan seperti pakaian,
tudung dan pelbagai aksesori wanita menjadi pilihannya.
“Saya tetap akan membawa Rubi ke sini,” dia
bagai berjanji kepada dirinya.
Ketika itu aku bagai melihat Kapten Veer
Pratap Singh (Shahrukh Khan) memegang erat tangan Zaara Hayaat Khan (Preety
Zinta) sebaik-baik dibebaskan dari penjara dalam filem Veer Zaara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan