Halaman

Rabu, 5 Oktober 2011

Atuk?



Hari ini tanggal  3 Oktober 2011. Aku  mendapatkan perkhidmatan membasuh kereta Kelisaku di Bengkel Tuk Chin lagi. Kelisaku sudah satu bulan  tidak mandi. Petang  itu juga, aku ke Stesen Minyal Shell untuk mengisi angin tayar kereta yang kempis.
     Aku terbongkok-bongkok mengisi  angin tayar  belakang, tayar yang terakhir.  Tiba-tiba  sebuah  kereta Proton Aeroback  berwarna kelabu, bernombor pendaftaran ABS 7345 berhenti di belakang keretaku. Aku menoleh ke arahnya.  Aku dapati dua orang gadis berusia  lingkungan 20-an berada dalam kereta tersebut.
     Pemandunya, seorang gadis Melayu  berseluar  jean biru tanpa  bertudung,  keluar dari kereta tersebut. Gadis berkulit cerah itu kelihatan ceria dan mempesonakan mata yang memandangnya.
     “ Tuk boleh tolong tak?” tiba-tiba gadis itu bersuara. Gadis itu mesra sekali. Air mukanya manis dan senyumannya menarik.
     Hatiku terperanjat. Inilah kali pertama seorang gadis genit memanggil aku ‘Atuk’. Mengapa dia panggil aku ‘ Atuk’? Adakah dia  anak mana-mana saudara-mara aku?  Adakah tua sangat aku daripada kaca mata gadis itu.
     “ Adakah gadis ini cucu aku? Tetapi anak siapa?” pelbagai soalan berlegar dalam fikiranku. 
     “ Tolong apa?” tanyaku spontan.
     “Tolong isi minyak,” jawabnya cepat.
     “Minyak sana,”  jelasku sambil menunjuk ke  arah pam minyak yang tidak jauh dari situ.
     “Tolong isi angin Tuk, bukan minyak,” jelasnya sambil ketawa kecil apabila menyedari kesilapannya.
     “Saya tidak tahu, Tuk. Tolonglah Tuk,” rayu manja  gadis itu lagi.
     “Pakai kereta  pandai, isi angin tak tahu,” perliku.
     “Tolonglah Tuk,” rayu gadis itu. Kawannya yang berada di dalam kereta ketawa.
     “Ok, mari saya tunjukkan,” pintaku untuk mengajar dia.
     “Itu 29 , tetapi kereta saya 30,” minta  ditukar meter pam angin itu.
     Saya menekan butang kawalan meter menjadikan 30.
     “Ok, tekan dan masukkan,” arahku supaya dia menekan pam angin ke tayar keretanya.
     Gadis itu ketawa bila mendengar konotasi tersebut.”  Adakah menyeleweng  pemikiran gadis itu? ” tanya hatiku.
     “Tak mahu dia Tuk… tak masuk pun. Ok, mahu dah,” katanya. 
     “Kau orang mana?” tanyaku. Aku cuba jual minyak. Aku tidak pernah bertemu dengan gadis daerah ini  semesra dan selincah itu dengan orang yang tidak dikenali. Aku fikir mereka tentu gadis luar. Aku fikir mungkin gadis Perak kerana nombor pendaftaran keretanya.
     “Kundor Tuk,” jawabnya ringkas. Aku terperanjat kerana Kundor sebuah kampung terpencil. Soalan, “Kundor mana? Kundor Ulu atau Kundor Hilir?,” tidak kesampaian, tidak keluar dari mulut aku. Hatiku berkata ada juga gadis cantik yang lincah di daerah ini.
     “Nak pergi mana cantik-cantik ini ?” tanyaku lagi sambil memuji gadis tersebut.
     “Nak pergi pekan,”  jawab gadis itu  riang dengan pujian itu. Dia hulurkan getah paip angin itu kepada aku untuk diletakkan pada tempatnya kembali. Senyumannya manis dan sungguh menyejukkan hati yang menerimanya.
     “Satu tayar sahaja? “ tanyaku lagi.
     “Satu sahaja yang kempis,” jawabnya  sambil menuju ke keretanya.
     “Terima kasih, Tuk.”
     Dia menghidupkan enjin kereta dan kereta itu meluncur ke satu pam minyak di situ. Aku  berdiri tegak memandang gadis itu. Gadis itu melambai pergi. Aku termenung memikirkan. Ini lah kali pertama setelah mencapai usia 61 tahun seorang gadis genit menarik dan mendebarkan jiwa dan perasaan memanggil aku ‘Atuk”. Mengapa gadis itu memanggil aku ‘ Atuk’?  Kalau ‘Pak Cik’ atau ‘Pak  Mad’  seperti dalam kalangan bekas pelajar, biasalah dan aku boleh menerimanya.  Mengapa tidak memanggil ‘abang’ sahaja. Hahahaha!….  Jangan ketawa, ya.
oleh: Mohamad Abd Ghani
Catat Ulasan