Halaman

Khamis, 1 Ogos 2013

Proses Penciptaan `Ding’



Sejak entri `Tawaran Berkarya’ diposkan dalam blog ini pada 31 Julai lalu cuma tiga pembaca memberi reaksi melalui Facebook – meleset daripada apa yang diharapkan.
       Begitu juga dengan umpan yang dilontarkan sebelum ini agar pembaca  terus memberi komen pada ruang yang disediakan bagi setiap cerita; juga tidak memberangsangkan.
       Tujuan ruang ulasan disediakan bagi membolehkan saya membuat penilaian kendiri dan pada masa yang sama blog ini dapat ditingkatkan.
       Setakat ini cuma 27 komen diberikan sejak blog ini wujud kira-kira dua tahun lalu. Dengan bersangka baik dan positif, saya membuat andaian pertama `Saudara sahaja yang mengatakan menulis itu mudah. Bagi kami, ia tidak semestinya begitu. Berilah panduan.’
       Berdasarkan premis ini, saya cuba berkongsi pengalaman bagaimana beberapa anekdot yang dipaparkan terhasil. Mungkin kita boleh sama-sama belajar melalui proses penciptaannya.
       Untuk kali ini saya memilih cerita `Ding!’ yang saya hasilkan sewaktu belajar di Manchester pada tahun 1996 dahulu (cari melalui search `Cari Blog Ini’ yang dipaparkan di bahagian atas kiri. Taip Ding’ di situ).
Bagaimana Idea Tercetus?
Ding, pelajar dari Thailand adalah rakan sekuliah saya bagi subjek Media Dalam Pendidikan. Ding seorang pelajar yang cantik, peramah dan aktif. Bagaimanapun  pada peringkat akhir pengajian sarjana itu, Ding sering dilihat keletihan dan tidak terurus.
       Prasangka buruk sebagai budak Siam yang mudah menjual diri bermain di kepala saya apabila sering dilihat awal pagi keluar dari China Town, petempatan warga Asia di Manchester.
       Prasangka negatif itu diteguhkan kerana Ding cantik. Dia bukan sahaja mendapat perhatian kami sesama pelajar malah pensyarah kami Dr. Bob Houlton.
       Kejutan berlaku pada akhir cerita. Ding menjelaskan kepada saya cerita sebenar.
       Bukankah mudah jalan ceritanya?
Gaya Penulisan
Oleh kerana anekdot dalam blog ini  bermatlamatkan sebagai bacan santai, gunakan bahasa yang bersahaja. Sesekali masukkan dialog untuk memperkukuhkan pernyataan.
       Walaupun pendek, mesti ada jalan cerita yang disampaikan melalui sudut pandangan `orang pertama’. Maksudnya, penulis sendiri yang bercerita – tidak kisahlah menggunakan `aku’ atau `saya’.
       Ini kerana blog ini berhasrat menjadi wadah perkongsian pengalaman penulis sendiri yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca. Penggunaan orang pertama bercerita, lebih meyakinkan pembaca.
       Pilihlah kategori mana yang digemari. Kalau boleh di peringkat awal ini saya ingin menambah koleksi bagi kategori `Sewaktu Kecilku.’ Mengikut perancangan, untuk permulaan saya akan menerbitkan siri pengenalan yang memuatkan kesemua kategori.
       Selepas itu baharu diterbitkan berasaskan kategori dan pastinya kategori `Sewaktu Kecilku’ menjadi keutamaan.
       Saya berhasrat benar pembaca dapat melihat suasana dan budaya Malaysia sejak dekad 50-an sehinggalah kini.
       Tentu seronok membaca kisah budak-budak dalam pelbagai zaman yang disampaikan secara jujur.
Moral Cerita
Walaupun ada yang berpendapat kita membaca atau menonton cerita bukan untuk diajar tapi itulah hakikatnya. Ia diperakukan sejak zaman Socrates dan Plato lagi. Melalui cerita ini beberapa pengajaran atau perkongsian pengalaman berlaku.  
  • Berprasangka buruk itu perangai yang buruk.  
  • Kadang-kadang kita berprasangka buruk kerana ada kepentingan diri.
  • Mungkin unsur cemburu timbul dalam cerita ini. 
  • Beruntung jadi pelajar Malaysia di luar negara; segalanya ditaja (tidak bersyukur lagi?)

Tip
Anekdot adalah sebuah karya yang lengkap menurut kajian secara struktural – ada tema, plot, perwatakan, bahasa, latar dan sudut pandangan. Pengalaman menulis anekdot boleh dimanfaatkan untuk penulisan genre yang lain; cerpen, novel atau skrip drama atau filem.
Rumusan
Saya sedia berkongsi pengalaman melalui pertanyaan pembaca di halaman ulasan di bawah cerita. Tanyalah apa-apa kemusykilan. Mari kita belajar bersama-sama.
       Saya menunggu ulasan, pertanyaan dan pastinya cerita yang dikirimkan pembaca. Terima kasih didahulukan. Jumpa lagi!
Catat Ulasan