Rabu, 28 September 2011

Namanya Dr…


Dr... pernah bersama-sama di sini dahulu

Bukan sehari aku mengenalinya – sejak lebih suku abad lalu. Selain bersama-sama sewaktu mengambil ijazah pertama, dia rakan baikku sewaktu mengambil ijazah kedua di luar negara.
     Bagaimanapun sejak lebih setahun lalu dia aku lihat telah berubah. Terlalu jauh berubah sejak sebulan dua ini. Dia Dr…
     Puncanya, peristiwa Mac 2010. Dia menemui aku kerana kesulitan wang dan tanpa berfikir panjang, RM5,000 diserahkan. Duit tidak ada masalah kepadaku ketika itu, wang graduiti masih banyak berbaki.
     “Belanja anak-anak belajar terlalu tinggi kini. Gaji RM6,000 sebulan tidak mencukupi untuk dua orang anak yang masih belajar di universiti tanpa pinjaman, dia bagai pasrah mengadu.
     Siapa yang tidak kenal dia sewaktu di universiti. Dia seorang orator hebat dan kerana itu dia dipilih sebagai ketua.
     “Mari kita bersama-sama bangunkan keluarga besar ini. Kita mempunyai matlamat yang satu – meningkat maju dalam kerjaya,” katanya dalam suara seorang lelaki tulen.
     Frasa `keluarga besar’ itu kemudiannya turut aku ciplak dalam siri program motivasiku.
     “Ah mengapa dia begini, kini?,” persoalan itu sering bermain-main di kepalaku. Pengalaman lalu turut menjadi input – manusia baik boleh sahaja berubah sebaliknya sekiranya tidak dapat berhadapan dengan kenyataan.
     Bagaimanapun serba sedikit maklumat dapat juga aku kumpul. Antara cerita utamanya, dia percaya beberapa e-mel dari luar negara yang mengatakan ada wang berjuta perlu dipindahkan ke sini. Dia mungkin termakan cerita juta-juta pound sterling itu.
     “Tapi dia bergelar Dr. – doktor falsafah. Bukankah seorang yang bergelar Dr. itu juga perlu berfikiran bertaraf Dr. juga?,” aku mencongak.
     Bagaimanapun pengalaman lalu juga sering memberi indikator – mereka ini cuma Dr. di kertas; bukannya di alam nyata.
     Setidak-tidaknya hampir 10 rakan bergelar Dr. yang rapat denganku mengesahkan tesisku.
     Yang seorang itu tidak berani bercakap mengenai bidangnya sewaktu diminta mengendalikan satu kursus mudah, walhal baharu sahaja tersengih gagah menerima skrol PhDnya.
     Seorang lagi tidak dapat menyelesaikan masalah keluarganya setelah berkahwin dua dan sering mengadu kesempitan wang walaupun berjawatan timbalan pengarah.
     Lebih hodoh, seorang lagi yang bergelar yang sama dan mengajar di universiti pula tidak kenal lagi jantina. Jadi, PhD itu cuma di kertas?
     Lalu peristiwa semalam cukup menjengkelkan. Setelah tiga hari panggilan telefon tidak dijawab walaupun berstatus aktif, sms mudah ini terpaksa dihantar.
     “Berdiam diri dengan tidak menjawab telefon, tidak akan menyelesaikan masalah. Hadapilah kenyataan.”
     Sehingga cerita ini ditulis, nada dering telefonnya masih berbunyi tapi suara di sebelah sana masih belum kedengaran.

Tiada ulasan: