Selasa, 31 Mei 2011

Guru Pertama


Cikgu Sariani Tainu. Itulah guru pertamaku sejak aku mengenal alam persekolahan kira-kira 50 tahun lalu. Aku masih ingat, Cikgu Sariani berulang dari Lenggeng  tetapi tanpa jemu mengajar kami di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu, sebuah sekolah kecil yang terletak bersebelahan jalan kereta api utara-selatan kira-kira 12 Kilometer dari Seremban.
         Tubuh Cikgu Sariani kelihatan kurus kerana ketinggiannya. Bagaimanapun dari jauh lagi, aura seorang ibu jelas terserlah seolah-olah memanggil kami ”Mari sayang! Kita belajar mengeja lagi.” Suara lembutnya yang sesekali terungkapkan bahasa Minangkabaunya menyebabkan aku amat ingat benar identitinya.
         Sebagai murid darjah satu, aku tidak ingat bagaimana Cikgu Sariani datang ke sekolah – berkereta sendiri atau menumpang. Aku tidak tahu juga siapa suaminya dan sudah berapa anaknya. Apa yang aku pasti, sejak malam lagi aku tertunggu-tunggu untuk menemui Cikgu Sariani di bilik darjah keesokan hari.
         Aku tahu, bukan aku saja menyukainya. Kawanku yang lain – Said, Johari, Razali, Suriah, Zahariah, Asmah, malah Kenton dan Pintal, anak orang Asli dalam kelas yang sama – juga amat sayang kepadanya. Melalui Cikgu Sarianilah kami mengenal huruf pertama `a’. Waktu itu tadika tidak ada lagi.       
         Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, aku tidak pernah dengar Cikgu Sariani merungut. Aku pasti benar. Dia seperti emak yang tidak pernah merungut walaupun hanya mampu membuat cucur kodok atau lempeng sebagai sarapanku sebelum ke sekolah. Aku tidak pernah kenal susu. Minuman rasmiku hanya teh `O’ yang dicampur sedikit gula.
         Kurikulum Cikgu Sariani tidak cukup sekadar mengajar kami `a, b, c, 1, 2, 3’. Dengan lembut dia sering mengajak kami ke sungai yang terletak berhampiran dan mengajar kami mandi dan menggosok daki. Bukanlah sesuatu yang asing ketika itu, kami budak-budak Kampung Pelegong, Kampung Kering, Kampung Tengah, Kampung Jawa, Kampung Masjid, Kampung Tekir, Ladang Kirby dan kampung-kampung lain yang berdekatan; tebal dakinya sama ada di belakang telinga atau di pangkal tengkuk.
         Kami tak kenal perkataan sabun ketika itu. Biasanya bahagian sabut kelapa yang lembut menjadi alat penyental. Dan di sekolah, tangan Cikgu Sariani yang lembut itulah yang menggosok bahagian berdaki kami. Kadang-kadang terasa pedih dan kulit menjadi merah dibuatnya. Bagaimanapun usapan lembut tangan Cikgu Sariani, hingga kini masih terasa.
         Biasanya sebelum mandi, kami diajar menggosok gigi. Kami juga masih tidak kenal berus dan ubat gigi. Jadi, sesi itu dimulakan dengan aktiviti mengambil daun lalang yang masih muda. Daun itu dicarik-carik, kemudian dikisar di tapak tangan. Setelah dirasakan lembut dan bergumpal di tapak tangan, itulah berus gigi kami.
         Seronoknya setelah selesai menggosok di gigi air, tanpa malu kami menanggalkan pakaian dan terus terjun ke sungai. Riuh-rendah suasana dengan teriakan dan pekikan yang sesekali diganggu bunyi keretapi yang lalu.
         “Murid-murid akan mencintai ilmu sekiranya `mencintai’ gurunya. Guru yang menganggap murid-muridnya seperti anak dan adik sendiri.” Begitulah agaknya falsafah pendidikan yang ingin diterapkan walaupun Cikgu Sariani ketika itu tidak pernah mendapat latihan formal pendidikan keguruan. Aku rasa dia juga tidak pernah belajar psikologi dan pedagogi.
         Sejak aku menjadi guru terlatih ketika berusia 20 tahun, ilmu yang `diajar’ Cikgu Sariani tetap menjadi peganganku. Aku dapat mengesan murid-muridku di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Maran, Pahang amat menyenangi diriku. Aku merasa bertuah kerana diberi kepercayaan oleh guru besarku, Awang Chik Bidin mengajar darjah satu pada tahun pertamaku bertugas. Aku juga merasa gembira kerana dapat meneruskan legasi Cikgu Sariani.
         Cerita Cikgu Sariani dan anak-anak kecil di Felda Jengka 4 sentiasa menjadi bahan kuliah pertamaku, sejak aku bertugas di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar sejak 1991.
         Cerita yang sama tetap aku sampaikan berulang tahun setiap kali Minggu Pengurusan Pelajar Baru setelah aku dilantik sebagai Ketua Pusat Sumber.
         Entahlah! Tanpa sedar falsafah pendidikan yang diamalkan oleh Cikgu Sariani benar-benar sebati dalam jiwaku. Walaupun aku sendiri  adalah guru terlatih lepasan maktab perguruan, kemudiannya melanjut pelajaran di peringkat sijil perguruan khas, memiliki Bacelor Pendidikan dan kemudiannya bergelar sarjana dari universiti luar negara; falsafah yang tidak diajar secara langsung oleh Cikgu Sariani itu pula yang melekat kuat.
         Aku lantas teringat kata-kata William Arthur Ward yang menyebut, The mediocre teacher tells.  The good teacher explains.  The superior teacher demonstrates.  The great teacher inspires.” Aku bersetuju benar dengan kata-kata peniup semangat ini. Begitu juga dengan petikan tulisan insan tidak bernama yang ditemui dalam sebuah buku. “Teaching is the profession that teaches all the other professions.”
          Ia benar-benar menggugah semangatku. Aku akan terus bangga bergelar cikgu. Terima kasih Cikgu Sariani! Terima kasih daripada seorang cikgu kepada seorang cikgu. 

Tiada ulasan: