Selasa, 31 Mei 2011

Abah

Dia tidak pernah memberi arahan secara rasmi. Bagaimanapun seingat-ingat aku, itulah kemahuannya. Abah pantang sekali kalau sewaktu ada tetamu yang datang ke rumah, kami adik-beradik bersama-sama duduk di serambi mendengar perbualan; apatah lagi kalau menyampuk. Matanya akan segera mencerlung tajam, tanpa suara.
      Arahan abah sangat senang difahami. Cukup dengan pandangan saja. Kami pasti akur tanpa kata. Bagaimanapun ini bukan bermakna aku tidak responsif terhadap apa-apa yang berlaku. Oleh sebab tidak dibenar bersuara, ini memungkinkan aku bertimbang-terima sendiri setiap hal yang aku dengar dan perhati.
      Melalui cara ini juga aku dapat memanfaatkan kotak fikirku sejak kecil. Sebahagian daripadanya aku tuliskan. Mungkin ini titik awal aku mendisiplinkan diri untuk menjadi penulis.
      Hanya akhir-akhir ini aku sedar akan perkara ini. Kadang-kadang kita berasa kecewa kerana tidak dapat melakukan sesuatu yang kita suka. Lebih buruk kita diminta menjadi pendengar saja sedangkan banyak benda yang diperkatakan bukan saja tidak selari dengan kehendak sendiri tetapi jelas memang tidak mematuhi hukum dunia dan agama.
            Bagaimanapun setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya. Terima kasih, abah!

Tiada ulasan: