Oleh kerana setiap hari berulang-alik dari rumah ke kampus, aku sering sahaja terpaksa membuang masa mencari tempat letak kereta sebelum ke bilik kuliah. Apatah lagi sebagai pelajar dewasa, masa berbaki yang ada sebelum kuliah bermula biasanya cukup-cukup saja.
Pada hari itu keadaan yang sama berlaku. Hari itu kuliah di bilik Fakulti Ekonomi Sumber. Setelah tidak dapat tempat letak kereta sekitar perpustakaan, aku terus ke tempat letak kereta fakulti berkenaan.
Setelah melihat jam, aku tidak membuang masa lagi terus meletakkan Honda Civic bernombor pendaftaran NR 119 pada suatu petak kosong yang terletak berhadapan pintu masuk ke bilik kuliah. Aku menarik nafas lega kerana dapat juga masuk kuliah pada masanya.
Setelah tamat kuliah, aku terus ke kereta dan melihat sekeping nota tersangkut di wiper kereta.
“Belajarlah rajin-rajin supaya mampu mempunyai tempat letak kereta sendiri.”
Baru aku terpandang tulisan bercat kuning pada petak kereta itu bertulis jelas `dekan.’
Sejak hari itu aku tidak berani lagi meletak kereta sesuka hati. Bagaimanapun empat atau lima tahun kemudian, aku telah mempunyai tempat letak kereta sendiri. Tempat letak kereta itu betul-betul di hadapan pintu masuk pejabat dan berbumbung pula – jauh lebih baik daripada tempat kereta dekan UPM dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan