Selasa, 31 Mei 2011

Profesor Buah Mempelam

Profesor berkelulusan doktor falsafah ini memang hebat. Walaupun masih bertaraf Profesor Madya, ramai yang panggilnya Prof. atau Dok. sahaja. Menurut pendapat umum tidak rasmi, pensyarah ini cukup disenangi oleh pelajar kerana mudah didampingi dan sesi kuliahnya cukup menghiburkan. Mengapa tidak? Oleh sebab terlalu `taksub’; apa-apa sahaja yang diperkatakan olehnya akan menjadi bahan ketawa.
      Bagaimanapun aku agak berkecuali dalam hal ini. Entahlah! Kadang-kadang aku merasakan lawak yang dibuat oleh pensyarahku ini tidak natural - mengada-ngada. Kami masuk kuliah pun bukan hendak mendengar cerita kartun. Aku akui unsur humor perlu ada pada setiap guru. Dalam teori pengajaran dan pembelajaran unsur ini dikenali sebagai unsur kecindan. Unsur ini perlu untuk menarik perhatian pelajar tetapi janganlah berlebih-lebihan.
      Paling aku tidak gemar, pensyarahku ini suka sangat mengulang-ngulang salah satu siri lawaknya itu. Apa lagi kawan-kawan kaki bodek yang sering ingin menarik perhatian. “Cerita buah mempelam Prof.!,” teriak Harun Bulan, salah seorang daripada mereka di tengah-tengah waktu kuliah.
      Maka sepantas kilatlah, pensyarahku menyebut cerita buah mempelam dalam dialek Kelantannya yang cukup pekat itu. “Orang Kelantan panggil buah itu buah pauh. Kalau panggil buah mempelam jadi buah …….” Riuh rendahlah bilik kuliah ketika itu. Bagaimanapun tidak kurang yang kulihat tidak memberi respons kepada cerita klise itu. Mereka jengkel.
      Aku yang bertugas mencatat nota kuliah untuk kegunaan kelas berasa bosan sangat pagi itu. Sama ada aku tidak sihat atau terganggu dengan cerita yang sering diulang-ulang itu menyebabkan aku hilang konsentrasi.
      Hanya beberapa patah perkataan yang dapat aku catatkan sepanjang kuliah satu jam itu. Menyedari tanggungjawabku tidak selesai kerana perlu menyerahkan nota kuliah secara bertaip untuk difotostat dan kemudian diedar untuk kesemua 117 ahli kumpulan, aku terpaksa mencari rakan senior malam itu.
      Aku terpaksa meminjam nota dua semester lepas iaitu bidang kursus yang sama yang diberikan oleh pensyarah berkenaan kepada rakan seniorku.
      Sewaktu membelek-membelek nota itu, rupa-rupanya pencatatnya ketika itu membuat transkripsi penuh bahan kuliah itu. Cerita buah mempelam juga termasuk dalam catatannya.

Tiada ulasan: