Kegemaran membacaku agak tergganggu juga pada tahun pertamaku sewaktu mula bertugas sebagai guru terlatih di Pahang dulu. Felda Jengka 4 bukan saja tidak ada kedai buku malah kedai jual surat khabarpun tidak ada.
Waktu itu kegemaran menulis sudah bermula. Selain ingin mengetahi perkembangan semasa, aku ingin tahu juga sama ada tulisan yang aku hantar ke akhbar atau majalah tersiar atau sebaliknya.
Pekan paling dekat ketika itu ialah Maran yang terletak kira-kira 32 Kilometer dari petempatan Felda yang baru saja dibuka ketika itu. Bas ke Maran pula bermasa; kira-kira dua jam sekali.
Sewaktu di dalam kelas, aku bertanya kepada murid-muridku kalau-kalau ada abang, kakak, ayah, ibu atau sesiapa saja yang ke Maran setiap hari bagi membolehkanku membeli akhbar mealuinya.
Seorang murid berdiri. “Cikgu! Kakak saya ke Maran setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Dia masuk kelas menaip,” katanya.
Melalui murid itu aku menyerahkan wang beberapa ringgit untuk harga akhbar selama lima hari dan meminta dia membawa akhbar itu pada keesokan harinya.
Mulai lusanya, aku cukup gembira kerana dapat membaca akhbar harian seperti biasa walaupun terpaksa lewat sehari.
Masa beredar, waktu berlalu. Aku terus-terusan mendapat bekalan akhbar harian dan kadang-kadang majalah yang aku gemari melalui kakak muridku.
Sesekali aku menerima usikan rakan-rakan. “Jangan kau buat hubungan dengan pembeli surat khabar kau cukup. Budak tu baru habis tingkatan lima!,” kata mereka.
Benarlah kata mereka. Sebagai petempatan yang baru dibuka, penerokanya muda-muda belaka. Habis tinggi umur anak pertama mereka sekitar bawah 20 tahun saja.
Oleh kerana itulah, sepanjang berada di situ kami bukan saja tidak berpeluang bercampur gaul dengan gadis pada usia yang sepatutnya malah tidak pernahpun melihatnya. Kalau ada melihatnya pun mungkin kalau ada adik atau anak buah peneroka yang datang bertandang.
Berbalik kepada cerita gadis sunti pembeli surat khabarku tadi, kiriman akhbar pada keesokan paginya cukup mendebarkanku.
Dalam lipatan akhbar itu terselit surat bertulisan rapi dan berbau wangi pula. Helaian dua halaman itu membuatkan aku bungkam. Gadis itu mencurahkan rasa hatinya.
Walaupun baru berusia 20 tahun tidak semudah itu pula aku menerimanya. Secara terus-terang aku tidak berkenan dengan gadis itu lalu aku mendiamkannya saja.
Keesokan harinya dan beberapa hari kemudian aku masih menerima surat yang bernada serupa. Aku masih tidak membalasnya. Hanya pada minggu berikutnya, aku menerima surat terakhirnya; tanpa kata puitis dan tanpa kertas berbau wangi:
“Saya tidak hendak membeli surat khabar cikgu lagi!”
Sejak itu aku tidak dapat bekalan akhbar harianku lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan