Halaman

Selasa, 31 Mei 2011

Amar, Hamzah, Satar


Tidak ada sesiapa yang tidak kenal Mohd Amar Din sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said (SMDMS), Nilai dulu. Tubuhnya agak besar dan tinggi; sesuai dengan baka Benggali yang diwarisi daripada bapanya.
         Amar seniorku setahun tetapi setiap hari menaiki bas yang sama sama ada sewaktu pergi atau balik sekolah. Aku menaiki bas di Batu 8, Labu manakala dia naik di kampungnya di Kampung Lambar.
         Amar terkenal bukan kerana bijaknya tapi terkenal kerana samsengnya. Istilah takut seolah-olah tidak ada pada dirinya. Boleh dikatakan setiap minggu, kami dapat menyaksikan Amar bergaduh. Dia pandai - dia tidak bergaduh di sekolah tetapi di luar.
         Satu hari, kami gempar. Stesen bas menjadi gelanggang pertarungannya. Wong, anak seorang pekerja Ladang Labu dibelasah teruk semata-mata untuk menyainginya. Kali ini Amar bukan sahaja bermodalkan tubuhnya yang sasa tetapi botol oren yang baru dibelinya.
         Besoknya Amar dipanggil di depan perhimpunan. Turut bersamanya Hamzah, rakan sekelasnya yang terus degil tidak mahu menggunting rambut yang panjang. Aku tidak ingat kesalahan Satar, seorang lagi rakan baiknya yang turut dipanggil.
         Apa yang pasti, mereka bagaikan Amar, Akbar dan Anthony dalam filem lakonan Amitabh Bachan.
         Lama aku tidak menemui ketiga-tiga seniorku ini. Hinggalah pada suatu dari aku turut diundang pada majlis penubuhan Persatuan Murid Tua SMDMS, Nilai.
         Amar, seorang Penolong Pegawai Daerah ketika itu. Dialah Pengerusi Penaja persatuan kami.
         Amar kemudiannya menyertai dunia perniagaan dan dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia. Hamzah pula mantan Ketua Pengarah Bomba Malaysia manakala Satar yang kini menjalankan perniagaan sendiri, turut `mencuri’ adik Amar sebagai isteri.
Catat Ulasan