Halaman

Selasa, 31 Mei 2011

Takkan Kau Nak Saman Aku

Foto: http://www.upm.edu.my/
Banyak-banyak kerja kursus, Kursus Penulisan Kreatif pada semester enam adalah antara yang tidak digemari oleh rakan-rakan sekuliahku. Alasannya mudah; sepanjang hayat, sebahagian besar mereka tidak pernah menulis cerpen sedangkan kami perlu menghantarnya dalam tempoh satu bulan. Sesuailah dengan program kami `Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama’, guru yang mengajar bahasa perlu boleh menulis dengan baik; salah satu kemahiran berbahasa yang kurang dikuasai, walaupun sudah lulus universiti.
      Apa lagi. Aku, Omar Mamat, Jais Sahok, Rahmat Ghazali dan beberapa rakan sekuliah yang sememangnya telah berkarya sebelum masuk ke universiti menjadi tumpuan teman.
      “Beri aku satu cerpen kau yang pernah tersiar tu. Pensyarah bukan tahu!,” itu antara kata yang sering diucapkan untuk memujuk.
      Oleh sebab sebahagian besar permintaan itu dibuat berhampiran tarikh akhir, aku bersimpati juga dengan masalah yang dihadapi rakan-rakanku. Tidak ada seorang pun yang aku hampakan permintaan mereka khususnya mereka yang rapat denganku. Antara mereka ialah Jumali dan Adnan, rakan sekeretaku ke universiti.
      Mereka seolah-olah `sudah hilang malu’ kerana terdesak. “Kalau aku curi cerpen orang, mungkin kena saman. Kalau kau takkan kau nak saman kot?,” usik Jumali dan Adnan.
      Sebagai seorang yang siuman, pastilah aku memilih cerpen yang kukira paling baik untuk dihantar kepada pensyarah. Walaupun cerpen itu agak pendek tetapi menggunakan cara penyampaian terbaru. Aku ingin bereksperimen dengan cerpen itu. Cerpen yang lari daripada teknik konvensional.
      Bagaimanapun ini tidak bermakna cerpen paling buruk aku berikan kepada rakan-rakan yang meminta. Aku telah tunjukkan salinan guntingan akhbar cerpen-cerpenku yang pernah tersiar dan meminta mereka memilih sendiri. Terdengar nafas lega di kalangan mereka.
      Sewaktu keputusan dikeluarkan pada semester baharu, sifat membalas budi terpancar tinggi di kalangan rakan-rakan yang menggunakan cerpenku sebagai kerja kursus dahulu.
      Senak perutku kerana tidak habis-habis makan belanja mereka. “Terima kasih. Kau memang geng kamcing aku. Aku dapat `A’. Kau tentu dapat `A’ punya,” kata mereka.
      Aku tersenyum sendirian. Melalui buku inilah kali pertama aku memecahkan rahsia. Tauke cerpen sendiri cuma dapat `B’.
Catat Ulasan