Halaman

Selasa, 31 Mei 2011

Tujuh Lawan Satu

Menjadi anak sulung; tambahan pula lelaki dalam keluarga yang memiliki tujuh anak perempuan diakui banyak mempengaruhi cara berfikir dan bertindakku. Tidak pelik, sejak kecil aku sering saja dilabel domut (lembab), lembik dan mudah cembeng atau tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan alam.
      Mungkin hal-hal inilah; ditambah pula dengan cara didikan emak yang lembut menjadikan aku manusia yang cepat responsif dengan persekitaran. Aku sensitif? Ya! Aku akuinya. Banyak perkara yang aku boleh buktikan mengenainya.
      Bila menyebut responsif dan sensitif, ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan hal-hal yang bersifat negatif saja. Ia turut merangkum perkara yang positif.
      Memang sejak kecil, keluarga kami sering dipandang kecil. Apatah lagi oleh Nenek Jenab, isteri tuan Tanah Kedawung di Kampung Pelegong. Ada saja yang tidak kena kepadanya. Bila bersawah, dia sanggup membuang masa menjejak permatang dan lumpur semata-mata untuk mengutuk kami.
      Sampai sekarang aku ingat, aku yang lembik ini melontar cangkul kepadanya apabila amarahku dibakar dengan satu demi satu frasa dan ayat penghinaan.
      Masih jelas juga dalam ingatan betapa Nenek Jenab sanggup menuduh emak meracun bapanya semata-mata mendengar kata salah seorang cucunya. Cucunya yang dikatakan mempunyai kuasa ajaib sedangkan kemudiannya diakui gila oleh doktor.
      Kuatnya penghinaan itu, cerpen Wali Allah yang aku hantar ke Mingguan Malaysia terbit tidak sampai dua minggu setelah diposkan.

Catat Ulasan