Selasa, 31 Mei 2011

Penyanyi Nombor Satu

Cikgu Awang Chik Bidin, guru besarku kelihatan cukup ceria sewaktu singgah di mejaku pada awal pagi itu. “Saya dah fikir masak-masak. Kita kena buat juga Malam Gelek Bersama Daud Kilau tu,” katanya mengingatkan aku kepada salah satu agenda Mesyuarat Jawatankuasa PIBG petang esok.
      Sebagai Setiausaha PIBG dan Guru Penolong Kanan, Cikgu Awang Chik memang mengharapkan sokongan aku untuk menjayakan malam yang diharapkan dapat mengumpul dana untuk faedah anak-anak peneroka Felda di sekolah kami.
      Dalam mesyuarat sebelum ini, secara lembut aku membantah cadangan yang dikemukakan oleh Cikgu Awang Chik yang bertaraf ex-officio dalam PIBG. Aku bukan tidak bersetuju dengan matlamat murninya. Cuma aku tidak bersetuju pendekatannya. Adakah untuk beramal perlu panggil penyanyi sahaja? Mengapa sanggup buang masa tiga empat kali mesyuarat, ditambah `paksa’ orang kampung keluar duit semata-mata nak cari duit? Mengapa duit yang mungkin akan digunakan untuk membeli tiket pertunjukan pentas itu digunakan terus untuk mengisi Tabung PIBG? Bukankah pendekatan ini lebih praktikal?
      “Dalam bekerja ni kita tak boleh agresif sangat. Saya tahu Zul masih muda,” Cikgu Awang Chik seolah-olah mengingatkan usia sebenarku yang cuma masih 21 tahun tapi telah mendapat tanggungjawab sebagai orang nombor dua sekolah.
      Akhirnya pada mesyuarat itu, cadanganku ditolak. Aku akur dengan keputusan kolektif. Malam Gelek Bersama M. Daud Kilau akan tetap diadakan dua bulan lagi.
      Sejak itu segala jentera digerakkan. Aura Cikgu Awang Chik Bidin memang hebat. Setiap golongan di Felda Jengka 4 dapat dimotivasi untuk mengisi Tabung PIBG.
      Paling ketara di kalangan ahli jawatankuasa sendiri; Usop Jepun, Husin Gemuk (sekadar menyebut beberapa nama) tidak menang tangan menggerakkan jawatankuasa kecil masing-masing.
      Usop Jepun yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Persiapan Pentas telah menyediakan perancangan telitinya. Husin Gemuk, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan berjanji akan memastikan penonton tidak akan berpeluang masuk free. Setiap sudut strategik akan ditempatkan pengawal bagi memastikan pagar sekolah tidak akan dipanjat atau digunting penonton.
      Aku pula mengetuai Jawatankuasa Publisiti. Selain poster kertas mahjong yang ditampal merata tempat lebih awal, dua tiga hari sebelum persembahan sebenar, aku berserta beberapa ahli jawatankuasa berpusing ke hamper semua petempatan di Gugusan Jengka, Felda Ulu Jempol dan sekitarnya. Kami menyewa lori kecil sambil melaung dengan pembesar suara, “Bergeleklah dengan M. Daud Kilau di padang Sekolah Kebangsaan Jengka 4!”
      Senja hari persembahan sebenar (waktu maghrib pun tidak masuk lagi), padang sekolah mula diserbu.
      “Biar roboh pagar sekolah dengan serbuan penonton. Tabung PIBG mesti penuh,” kata Husin Gemuk sambil tersenyum megah. Misai tebalnya bagaikan kelihatan bergoyang.
      Memang benar. Pagar sekolah roboh malam itu. Pagar itu tidak dapat menahan rempuhan pengunjung yang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri di bangunan sekolah berikutan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Tiket tidak dapat dijual langsung selepas itu.
      Sewaktu mesyuarat post-mortem beberapa minggu kemudian, akaun projek ditutup. Setelah ditolak segala belanja, tentu tidak termasuk kos tenaga, PIBG untuk bersih RM2.45!

Tiada ulasan: