Rabu, 28 September 2011

Ah Keong dan Semut

Laman Sang Pencerita, sebuah taman mini yang diusahakan Sang Pencerita dan Ah Keong
di atas tanah seluas 10 ekar gagal menjadi kenyataan. Lebih RM200,000 melayang
1997. Setelah balik dari Manchester kerana menyambung pelajaran peringkat sarjana, aku masih menjalankan kerja sampingan sebagai ejen pencetakan. Melalui bisnes ini, aku mengenali Ah Keong di kedainya yang menumpang di Jalan Nyonya, Pudu.
     Ah Keong masih muda ketika itu. Isterinya, Lim Pek Lian turut membantu dan anak sulungnya yang masih berusia sekitar dua tahun turut dibawa ke kedai. Sewaktu membawa kerja-kerja minit-minit terakhir, Ah Keong yang menjadi penyelamat.
     Ah Keong sanggup menanggalkan plet di mesin cetak Heidelberg untuk kerja-kerja pelanggan terdahulu semata-mata kerana aku. Dia bijak mencongak. Pelanggan terdahulu cuma membayar RM100 satu run bagi cetakan empat warna sedangkan aku sanggup menawarkan sekali ganda.
"Cikgu! Bosan juga hari-hari tengok mesin. Mari kita tengok ikan pula.
     Aku pula bukan sengaja hendak tunjuk kaya. Aku tiada pilihan lain – membayar sekali ganda tinggi atau buku program yang ditempah, tidak terbit langsung. Penerbitan buku program untuk sesuatu majlis jangan dilihat mudah. Buku itu tidak berharga satu sen pun sekiranya diserahkan selepas majlis perasmian.
     2002. Ah Keong sudah berpindah ke Seri Kembangan. Ini menggembirakanku kerana tidak perlu merentas kesesakan bandar raya lagi. Di sini juga aku lihat, perniagaan Ah Keong semakin maju. Antara kerja cetakan besar yang dibuatnya ialah menghasilkan setidak-tidaknya 10,000 sampul CD cetak rompak sehari.
     Aku juga pernah terlihat Ah Keong mencetak novel Shit karya SN Shahnon Ahmad dan buku yang dihantar anak buah Tengku Adnan Mansor (TAD) yang bertugas sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu. Buku yang sepatutnya diedarkan di Perhimpunan Agung UMNO itu kemudiannya `diharamkan.’
     “Cikgu! Saya pernah kena ISA. Saya cetak pasport antarabangsa,” kata Ah Keong jujur sewaktu duduk bercerita kira-kira jam 1.00 pagi sambil meneguk teh tarik halia di gerai mamak di depan kedainya.
     “Memang saya nampak dunia gelap waktu itu. Anak saya masih kecil. Untung saya dapat Lim Pek Lian. Dia yang menguruskan perniagaan,” kata Ah Keong yang bertubuh kurus tinggi itu.
     “Suatu hari, sedang saya duduk termenung di bilik tahanan, saya melihat beberapa ekor semut sedang mencari makanan. Semut itu terjumpa lebihan nasi yang saya makan.
     “Kalau semut boleh hidup dalam jel, mengapa tidak Ah Keong?,” tanya Ah Keong kepada dirinya lagi sambil melemparkan senyum manisnya.
     Beberapa tahun kemudian, Ah Keong sudah memiliki lima pintu kedai yang bersebelahan.
     2011. Lama aku sudah tidak menemui Ah Keong. Selain kesibukan kerja, aku tidak berniaga lagi kerana `sakit tidak bernama’. Hanya mulai 1 Ramadan lalu, aku berniaga lagi dengan sokongan rakan karib yang teruji setianya `sewaktu susah dan senang' - Allahyarham Shariff Ahmad.
     Setelah susah mencari premis baharunya, aku disambut riang bagai menemui kekasih yang telah lama hilang. Ah Keong tidak terus mengambil tempahan seperti selalunya, sebaliknya menjadi pemandu pelancong dari satu ruang ke satu ruang kedai yang berukuran 120 kaki X 120 kaki itu.
     “Saya ada ong! Saya beli RM700,000 satu unit,” cerita Ah Keong mengenai dua unit kedai yang dibelinya kira-kira setahun lalu.
     Dalam ruang yang luas itu kelihatan beberapa unit mesin cetak empat warna yang aku ketahui harganya sekitar RM1.5 juta seunit. Di samping itu Ah Keong memiliki kesemua peralatan mencetak dari kerja pisah warna hingga menjilid buku. Syarikatnya sudah menjadi pusat cetakan sehenti.
     “Tak adalah cikgu! Sikit-sikit cari makan,” jawabnya sewaktu aku anggarkan hartanya kini bernilai lebih RM5 juta.
     Hari ini, 10 Mei 2019, aku mencari sahabat sejatiku ini lagi - masih Ah Keong yang kukenali hampir 30 tahun lalu. Kali ini kami bagai sepakat mengucap," Satu Kali Sudah Kong, Tak Kan Dua Kali Kong Juga." Kah! Kah! Kah! Kami ketawa serentak.

Tiada ulasan: