Rabu, 28 September 2011

Logo Jabatan Kebajikan Masyarakat

Memang kelihatan hebat apabila dapat berdampingan dengan isteri PM, tapi...

Ada logo Jabatan Kebajikan Masyarakatkah di dahiku? Aku semakin tertanya-tanya mengenai perkara ini khususnya sejak akhir-akhir ini. Atau adakah muka aku memang muka `sueh’! Masya-Allah, jangan sesekali kau sebut perkataan itu kepada dirimu. Allah lengkap mencipta segala-galanya. Jadi? Jadi apa? Ini persoalannya. Persoalan berasaskan peristiwa yang berlaku dalam satu hari iaitu hari ini.
     Sedang sibuk menguruskan Perjumpaan Hari Raya dan Majlis Tahlil, X Staf IPG Kampus Raja Melewar petang tadi, aku menerima mesej yang lebih kurang begini bunyinya di telefon bimbit.
     “Jawatankuasa … kurang setuju dengan kos buku program berdasarkan perjanjian. Lagipun tiada promosi dilakukan dan bajet tidak mencukupi. Jadi saya KIV dahulu bayaran.”
     “Perjanjian apa?,” aku bertanya. Perjanjian telah dilanggar sebelum termetri. Mengikut janji awal, memang kami bersetuju menguruskan penerbitan buku itu melalui kutipan iklan tetapi pada masa yang sama kehadiran logo syarikat kami sebagai Rakan Media tidak dibenarkan. Cari dalam dunia ini, syarikat yang sanggup bersengkang mata mencari duit untuk orang secara percuma? Ada! Ya, memang ada. Ia bukan syarikat tapi jabatan. Jabatan apa? Jabatan Kebajikan Masyarakat.
     Menariknya (memang aku suka mengalami kisah thriler begini) semua perkara ini ditimbulkan setelah hajat (kerja) masing-masing selesai. Dalam bahasa mudahnya, dah lepas tengkuk.
     Aku tidak mahu cerita panjang kisah ini khususnya cerita-cerita di awal perbincangan. Pada masa itu, kami memang diperlukan walaupun seluruh tenaga staf terpaksa digerakkan untuk mengejar dateline. Bukan mahu riak, cari syarikat di Seremban yang mampu mencetak buku program 16 halaman warna yang mana bahan akhirnya diberikan sekitar jam 9.00 pagi dan buku dapat disiapkan kira-kira jam 5.00 petang (buku diperlukan pada sebelah malamnya).
     Berbalik kepada kisah perjumpaan Hari Raya petang tadi, ceritanya hampir serupa. Aku bukannya ahli jawatankuasa malah tidak pernahpun mengisi borang ahli. Sejak minggu lalu, aku terpanggil membantu Haji Yunus Ibrahim semata-mata atas rasa simpati. Dia berseorangan untuk menguruskan majlis itu lalu aku membantu menghubungi rakan yang ada nombornya di telefon bimbit, mengurus tempat pertemuan (jabatan tempat aku bertugas sebelum bersara) dan menempah makanan.
     Hanya petang kelmarin, angka terakhir dapat diberikan kepada katerer setelah menggabungkan nama yang mengesahkan penyertaan yang ada pada diriku, Haji Yunus dan Haji Kadir.
     Jumlahnya cuma 47 orang lalu aku menjadikannya 60 orang untuk mengelakkan ada yang `tidak makan.’
     Petang tadi, sambil menjadi pengacara, aku sempat mengira. Jumlah yang hadir melepasi angka 60 dan tentunya sesetengah juadah yang terhidang tidak mencukupi khususnya nasi himpit dan lemang. Soto berlebihan.
     Maka adalah yang bertanya, “Berapa banyak yang kau tempah?” Aku memberi angka. “Mengapa sedikit sangat?”
     Mahu sahaja aku menyuruh mereka bertanya terus kepada beberapa rakan yang hadir. “Untuk membuat keputusan sama ada membawa isteri atau suamipun, sehingga hendak bertolak ke tempat jamuanpun tidak tahu.”
     “Untuk mengesahkan hadir atau tidak, juga memerlukan masa setahun agaknya?”
     Ada pula yang menelefon beberapa minit sebelum majlis bermula. “Aku kena wakil bos dalam mesyuaratlah,” sedangkan petang kelmarinnya memberitahu akan hadir dan meminta pula supaya membungkus makanannya kerana masih berpuasa enam.
     Pada sebelah pagi pula, aku diminta hadir untuk membuat rakaman video Konsert Kasih Dititip, Budi Bersemi yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri. Sehingga pagi semalam `tauke wayang’ masih tidak dapat mengesahkan term and condition yang diberikan tetapi sewaktu terbaca buku program pagi tadi, memang aku `tauke videonya.’
      Kalau ikut cara berniaga sebenar, aku boleh melupakan sahaja acara itu. Mengapa aku perlu bersusah payah mengerah lima staf syarikat untuk melaksanakan tugas yang belum pasti bayarannya?
     “Tolong! Tolong den yo?,” begitulah dialog yang kedengaran selalunya yang lebih berpihak kepada mereka. Kata-kata lembut dan berbunga indah hanya lunak `sebelum terlepas tengkuknya.’
     Maka bertanyalah aku kembali. Aku ini apa? Aku ini siapa? Confirm! Memang di dahi aku ada logo Jabatan Kebajikan Masyarakat? Kena mandi bunga?

Tiada ulasan: