Isnin, 5 September 2011

Menantu Abah


I
Dia kulihat agak cengkung dan muram ketika aku temui sewaktu `menjolok wang’ di Plaza Ampangan.
     “Apa khabar?,” tanyaku seperti biasa.
     “Baik, Haji,” jawabnya agak tidak bermaya.
     Sewaktu diajak berbual panjang, dia semacam enggan lalu kami terus berlalu pergi.
     Tidak siapa tidak kenal dia sebelum ini. Dia yang ceria. Dia yang kacak. Dia yang berpakaian segak dan dia yang pemurah ketika diminta untuk menderma.
     Bagaimanapun sejak sepenggal pilihan raya dulu, dia tidak seperti dia yang biasa lagi. Dua penggal lalu `pohon berteduhnya’ tumbang dan hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan, kewangannya bagai `tumbang’ juga.
     Lebih menyedihkan, rumahtangganya turut tumbang walaupun ia dibina berasaskan kasih suci (itu ceritanya sewaktu kami berada di Medan dahulu).
     Dia hanya seorang pembantu makmal sekolah sewaktu bertemu isteri, seorang guru. Minat menari dan mewakili pertubuhan sukarela yang sama membolehkan kasih terus bersemi.
     Bukan kecil halangan cinta mereka. Apatah lagi, bapa mentuanya salah seorang kakitangan penting di Jabatan Pelajaran Negeri.
     Bagaimanapun mengikut ceritanya, kebencian mentua bertukar kasih sayang apabila dia menjadi orang berada.
     “Menantu abah!,” begitulah panggilan bapa mentuanya sewaktu dihadiahkan kereta.
     Itu dulu. Kini setelah jadi orang biasa kembali, bukan sahaja bapa mentua tidak datang ke majlis perkahwinan cucunya, malah isterinya juga tidak bersama.

II
Beberapa kali dia berpusing dengan motosikalnya untuk mengetahui sama ada pinangannya diterima atau sebaliknya. Dia telah mewakilkan rakannya yang disifatkan sebagai abang sendiri untuk meminang anak peniaga kedai roti canai sebagai pengganti isteri yang meninggalkannya.
     Calon isterinya adalah rakan sepejabatnya. Tidak tahulah duduk perkara – sama ada isteri meninggalkannya kerana ada hubungan teman sepejabat atau teman sepejabat dijadi pengganti setelah ketiadaannya. Aku tidak mahu usul periksa.
     Apa yang pasti, wakil peminangan tidak diberi layanan sewajarnya lalu sesi yang sepatutnya selesai segera berpanjangan hingga ke tengah malam.
     “Huh! Si… tu,” juih tuan rumah.
     Bagaimanapun, kata orang jodoh itu ada, maka berkahwinlah kedua-duanya tanpa `restu’ bakal bapa mentua. Yang memahami hubungan dan tahu bahawa jodoh itu di tangan Allah, bakal ibu mentua.
     Peliknya, pada satu majlis kenduri doa selamat, sang peminang tidak ditegur oleh mentua rakannya. Dia bagai musuh nombor wahid.
     Itu dulu. Kini, setelah menantu ada rumah nilai berjuta, bagai terdengar dia berkata, ”Dia tu menantu saya.” 

Tiada ulasan: