Halaman

Isnin, 26 September 2011

Di Masjidpun, Bos Juga?


SEBAIK-BAIK usai solat Jumaat, tanpa menunggu imam membaca doa, aku segera berkejar ke kereta untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas. Tambahan pula, aku menggunakan kereta isteri yang akan ke pejabat sebentar nanti. Seperti biasa, aku memparkir kereta di dalam kawasan masjid kerana masih ada lot kosong di situ.
     Sewaktu menghampiri kereta, aku terlihat sebuah Proton Perdana berwarna hitam menghalang di belakang. Di tempat duduk kelihatan seorang pemuda berbaju putih yang aku jangka pemandu kepada pemilik kereta.
     Tidak dijangka pula, si pemandu hanya berdiam diri sewaktu isyarat berundur keretaku berbunyi berulang kali. Dia bagaikan tidak mendengar bunyi itu sedangkan cermin keretanya terbuka kerana cuaca panas.
     Sewaktu aku turun dari kereta sambil memandang ke arahnya, dia juga bagai tidak mengerti  lalu aku memenuhi janji `Hari Pengisytiharan Bercakap Secara Berdepan’.
     “Di masjid tidak ada bos dan tidak ada driver,” kataku berterus-terang.
     Beberapa minit kemudian kelihatan Exco Kerajaan Negeri yang juga jiranku tersengih-sengih menuju kereta itu.
     Terfikir di hati, siapa yang perlu menerima kesan tindakan itu? Sang pemandu `setia’ yang terpaksa berlari ke kereta sebaik-baik selesai solat atau tuan punya kereta yang merasakan `dia orang terhormat’ walaupun di masjid?
     Bagi diriku, ini jawapannya.
     “Memanglah wakil rakyat UMNO ini tidak habis-habis dengan sikap TUAN BESARNYA . Di masjidpun hendak tunjuk mereka berkuasa.”
     Tidak adil bukan? Yang buat begitu, pemimpinnya. Yang dapat buruk nama, partinya?
Catat Ulasan